Politik kebencian adalah bertujuan untuk mengapi-apikan rakyat supaya mereka berasa marah dan membenci pihak tertentu.
Kejayaan menyemarakkan api kebencian memudahkan perekayasaan menguasai pentas politik.
Natijah politik kebencian adalah jauh lebih fatal berbanding sekadar perseteruan merebut kuasa.
Politik kebencian juga menghakis nilai kemasyarakatan lantas meranapkan fundamental sesebuah negara.
Ia sangat jelas boleh menjahanamkan perpaduan dan juga keharmonian lalu menancap perpecahan.
Antara kesannya yang boleh dilihat adalah ahli keluarga berbalah sesama sendiri, sahabat karib bermusuhan, manakala jiran tetangga pula bermasam muka.
Penyokong itu menganggap penyokong ini dungu dan begitu juga pandangan sebaliknya bagi penyokong ini terhadap penyokong itu.
Politik kebencian perlu dihentikan segera kerana majoriti rakyat sudah keletihan. Selain itu, negara juga sudah keletihan.
Ledakan internet bermula sejak tahun 2000 adalah untuk memudahkan hidup. Ia untuk kemajuan, bukannya kemunduran nurani.
Atom digunakan untuk kebaikan dalam menghasilkan tenaga, namun boleh juga menjadi senjata yang memusnahkan.
Seorang rakan penulis dikenali sebagai Izan, 44, mengakui dia sudah 80 peratus tidak mengambil peduli tentang perkembangan politik sejak tahun 2018.
Menurut pekerja swasta itu, senario politik kian mengarut, malah bertambah memualkan sejak beberapa tahun lalu.
Ujarnya, politik kebencian menghasut persengketaan sedangkan yang harus dibicarakan adalan tentang dasar dan hala tuju negara.
“Konsep demand and supply adalah terpakai dalam hal ini. Politik kebencian ‘laris di pasaran’ sebab terdapat penerimaan. Jika seluruh rakyat menolak politik kebencian, maka ahli politik terpaksa memikirkan strategi berbeza.
“Lebih baik ambil tahu Harimau Malaya seri dengan China 1-1. Itu semangat yang menyatukan rakyat,” katanya.
Azam, 47, pula memberitahu, tujuan berpolitik adalah untuk menang pilihan raya dan diangkat menjadi wakil kepada rakyat.
Jelasnya, menjadi wakil kepada rakyat bermaksud menjadi Yang Berkhidmat (YB) kepada rakyat.
“Ia tentang pilihan rakyat untuk masa depan negara. Jadi berpolitiklah untuk meyakinkan rakyat tentang kita dan masa depan
negara. Bukan yakinkan
rakyat membenci pihak lain supaya dapat laluan mudah untuk menang pilihan raya,” katanya.
Timbalan Ketua (Strategi) Ibu Pejabat Asia, Jaringan Penyelesaian Pembangunan Lestari PBB (SDSN), Universiti Sunway, Prof. Wong Chin Huat turut menulis tentang perkara tersebut baru-baru ini.
Menurut beliau, dunia hari ini berada dalam era pergolakan, ketidakpastian, kekompleksan dan kekaburan (VUCA).
Jelasnya, era ini penuh bahaya, tetapi juga dengan peluang. Ia kejam untuk masyarakat dan individu tidak bersedia.
“Krisis alam sekitar kerana pemanasan sejagat dan pemusnahan kepelbagaian bio lagi berbahaya. Malangnya, krisis ini tidak menjadi isu panas dalam kempen pilihan raya.
“Kita perlu menggantikan politik kebencian dengan persaingan profesional supaya rakyat sentiasa menang tidak kira parti mana yang menang,” ujar beliau.













