fbpx

Tempuh sukar raih gelaran dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUR AIN (kanan) dan Aleena berjaya menewaskan pasangan dari Malta pada aksi final acara pairs untuk muncul juara dunia pada Kejohanan Boling Padang Dunia 2023 kelmarin. - FB SPORTING HIGHLIGHT

KEJAYAAN gandingan Nur Ain Nabilah Tarmizi dan Aleena Ahmad Nawawi bergelar juara dunia amat bermakna buat mereka selepas terpaksa mengharungi pelbagai kesulitan dalam perjalanan mendakap gelaran bersejarah itu.

Ain Nabilah, 25, menjelaskan, semangatnya dan Aleena, 24, tetap berada pada tahap tertinggi meskipun latihan persediaan mereka terjejas kerana program skuad boling padang negara tidak disambung Majlis Sukan Negara (MSN).

Hasilnya, kedua-dua pemain itu berjaya mengharumkan nama Malaysia dengan memenangi pingat emas acara pairs wanita pada Kejohanan Boling Padang Dunia 2023 yang berlangsung di Gold Coast, Australia kelmarin.

“Perasaan saya sangat gembira kerana impian sejak mula bermain boling padang 15 tahun lalu akhirnya tercapai. Memang tak jangka sebab saingan di Kejohanan Dunia bukannya calang-calang.

“Selepas saya menang pingat perak Sukan Komanwel (Birmingham) tahun lepas, program skuad boling padang Malaysia tak disambung. Latihan agak terganggu dan terpaksa membuat inisiatif sendiri serta tak dapat perkhidmatan sains sukan seperti sebelum ini.

“Bukan guna duit sendiri, cuma kami dah tiada elaun latihan bulanan macam sebelum ini sebab boling padang tiada dalam program,” kata Ain Nabilah ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.

Ain Nabilah-Aleena berjaya menewaskan pasangan dari Malta, Rebecca Rixon dan Connie Leigh Rixo 15-11 pada final kelmarin, sekali gus menamatkan penantian 15 tahun Malaysia meraih pingat emas di pentas Kejohanan Dunia.

Pingat gangsa pula dikongsi bersama oleh gandingan England, Sophie Tolchard-Amy Pharaoh dan pasangan dari Scotland, Emma McIntyre-Claire Anderson.

Kali terakhir Malaysia bergelar juara dunia di pentas Kejohanan Dunia adalah melalui kejayaan Safuan Said selepas menjuarai singles lelaki sewaktu edisi 2008 di Christchurch, New Zealand.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI