fbpx
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka atas lima pertuduhan, hari ini. Foto oleh AMRAN ALI / KOSMO!

Cuba bunuh polis dengan kerambit, lelaki dijel lapan tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah cuba membunuh seorang Inspektor dengan menggunakan sebilah kerambit, Sabtu lalu.

Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh, Muhammad Fairus Abdullah, 31, yang membuat pengakuan salah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah cuba membunuh Esmal Fhahmie Abd. Malek, 40, dengan menghayunkan sebilah kerambit ke arah mangsa dengan niat sedemikian boleh menyebabkan kematian.
Perbuatan itu dilakukan pada pukul 1 pagi di Lot 1209-2, Batu 6 Lereh, Tanjung Kling pada 11 April 2026.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebatan.

Tertuduh juga didakwa di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah kerambit di tempat awam tanpa mempunyai maksud yang sah.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan disebat.

Mengikut fakta kes, tertuduh dilihat dalam keadaan mencurigakan dan telah melarikan diri sejauh 300 meter sambil memegang sebilah kerambit serta sebatang pemutar skru selepas pengadu iaitu Inspektor Esmal memperkenalkan diri.

Pengadu telah meminta menyerah diri, tetapi tertuduh enggan sambil menjerit “Aku akan bunuh polis yang cuba tahan atau tangkap aku”.

Tertuduh kemudian bertindak menghayunkan sebilah kerambit ke arah pengadu dan hanya melepaskan senjata itu selepas satu das tembakan amaran ke udara dilepaskan oleh anggota polis.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rif’ah ‘Izatti Abdul Mutalif memohon hukuman setimpal diberikan, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya berjalan serentak dari tarikh ditangkap iaitu 11 April 2026.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun bagi pertuduhan cubaan membunuh dan lima tahun serta satu sebatan bagi pertuduhan memiliki kerambit. Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak dari tarikh ditangkap.

Dalam prosiding berasingan di hadapan Uthman Abd. Ghani, tertuduh turut mengaku bersalah ke atas tiga pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu mengugut pasukan polis, Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan anggota polis menggunakan sebilah parang dan Seksyen 184 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Uthman kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan ia berjalan serentak dari tarikh ditangkap. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN