fbpx

K2

Dibuli ‘gorgon’ Beting Raja Jarum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penulis puas memangku aji-aji atau Greater Amberjack seberat 12.38 kg walaupun keletihan.

MENJADI satu impian buat pemancing di Malaysia untuk berkunjung ke Luconia Shoals di Sarawak.

Penulis sendiri menyenaraikan Luconia dalam senarai salah satu tempat wajib untuk dilawati sebelum memasuki tempoh bersara.

Tanpa disangka, satu panggilan telefon lewat malam pada 21 Julai lalu mempelawa penulis untuk bersama-sama pergi ke Luconia sekali gus merealisasikan impian diri.

Dibahagikan kepada dua kawasan, Luconia Utara dikenali sebagai Gugusan Beting Raja Jarum, manakala Luconia Selatan pula dikenali sebagai Gugusan Beting Patinggi Ali.

Dikelolai oleh Fadli ‘Papang’, trip ini disertai seramai 12 orang pemancing, rata-ratanya pemancing berpengalaman memancing di kawasan laut Borneo.

Ketibaan kami di Lapangan Terbang Bintulu pada petang 4 Julai disambut oleh kru bot, Amirul yang menguruskan perkara berkaitan pengangkutan sebelum meneruskan perjalanan ke jeti Taman Sri Dagang di pekan Bintulu.

Sampai di jeti, kami memunggah segala kelengkapan memancing ke dalam bot Kerisi Marine 4 sebelum menunggu air pasang pada pukul 2 pagi.

Terletak kira-kira 140 batu nautika dari Bintulu, perjalanan yang memakan masa 16 jam tidak sedikit pun terasa lama kerana keterujaan untuk sampai ke lokasi pertama — Terumbu Permaisuri atau Moody Reef.

Kami tiba di lokasi pertama lebih kurang pukul 6 petang.

Usai mengerjakan solat maghrib, masing-masing mula mengambil tempat di posisi kiri bot. Dengan kedalaman hampir 200 meter (m), jig seberat 250 hingga 300 gram (g) menjadi pilihan.

Kehadiran kami disambut oleh seekor jerung harimau, hampir sebesar sebuah kereta sedan, jelas kelihatan timbul di permukaan berhampiran bot. Mungkin ia tertarik dengan limpahan cahaya lampu, kerana hanya kami di situ dengan persekitaran gelap-gelita.

Kerapu sunu banyak mendiami Terumbu Permaisuri.

Untuk jig bersaiz 200 hingga 300g ke atas, penggunaan assist hook di bahagian atas dan bawah kepingan jig menjadi satu kemestian jika ingin mendapatkan strike yang sempurna.

Penulis sendiri kerap gagal mendapat hook-up sempurna apabila menggunakan sepasang assist hook hanya di bahagian atas jig.

Menjelang tengah malam, aktiviti mula diperlahankan memandangkan kami masih lagi dalam mood kepenatan setelah mengharungi perjalanan panjang.

Namun, ada juga yang menyambung memancing dengan teknik pancingan dasar, beberapa ekor ruby snapper bersaiz kasar berjaya dinaikkan,

Keesokan harinya, kami bergerak naik ke arah lebih utara iaitu sekitar kawasan Terumbu Asun. Penulis hanya mendapat strike sekali pada sesi ini, namun dihampakan apabila tali utama putus pada kedalaman 130m.

Selepas berpindah ke kawasan lebih cetek, hampir semua pemancing berjaya mendaratkan kerapu sunu bersaiz ‘hidangan’.

Keesokan harinya penulis diuji dengan asakan daripada ikan bersaiz ‘gorgon’, apabila kepingan jig tirus 180g berwarna perak dihentam padu ketika turun ke kedalaman 120m.

Joran Prototype Deep Master Rentaka yang digunakan melentur kuat menahan asakan. Hampir 35 minit penulis beradu kekuatan, pada jarak 20 meter dari permukaan, sekali lagi tali utama berkekuatan 40lb putus.

Si pelakunya ialah spesies ikan buruan kami — tuna sirip kuning.

Tekong kemudian berpindah ke kawasan terumbu lain. Di pertengahan perjalanan, tekong sempat berhenti di satu kawasan terumbu yang dihuni ‘Kapal Selam Kuning’ bersaiz ‘gorgon’ – aji-aji atau Greater Amberjack.

Beberapa kali penulis melakukan pitch secara pantas di dasar, terasa seperti jig dihentam sesuatu yang berat, dengan pantas penulis terus membuat hook-up beberapa kali bagi memastikan ikan tersebut tidak terlepas.

Hasilnya aji-aji seberat 12.38 kg berjaya didaratkan pada petang itu hasil bantuan rakan-rakan yang lain.

Terubat sedikit kekecewaan penulis setelah berjaya menaikkan ikan itu meskipun ia bukan ikan trofi yang disasarkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI