fbpx

Apple rugi RM935 bilion, pelabur gusar masa depan di China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR fail 23 Oktober 2020 menunjukkan orang ramai beratur di luar sebuah kedai Apple di Shanghai. -- AFP

NEW YORK – Saham gergasi teknologi, Apple susut 2.9 peratus kelmarin susulan laporan China merancang memperluaskan larangan penggunaan iPhone kepada agensi dan syarikat yang disokong pemerintah, lapor portal berita CNN kelmarin.

Berita tersebut menyebabkan ramai pelabur bimbang tentang keupayaan Apple selaku syarikat awam terbesar dunia untuk terus menjalankan perniagaan di China yang merupakan ekonomi global kedua terbesar.

Apple mula mencatat kejatuhan harian terbesarnya melibatkan kerugian kira-kira AS$200 bilion (RM935.6 bilion) dalam tempoh dua hari pada Rabu lalu sekali gus prestasi terburuk dalam indeks perindustrian Dow Jones.

Larangan China itu dilihat sebagai petanda buruk buat Apple.

China merupakan pasaran asing terbesar untuk syarikat pengeluar telefon pintar iPhone itu, manakala jualan di China menyumbang satu perlima daripada pendapatan Apple pada tahun lepas.

Apple tidak mendedahkan angka jualan iPhone mengikut negara tetapi penganalisis firma penyelidikan TechInsights menganggarkan jualan iPhone pada suku kewangan lalu di China adalah lebih besar berbanding jualan di Amerika Syarikat.

Syarikat gergasi teknologi itu juga mengeluarkan sebahagian besar iPhone miliknya di kilang-kilang China.

Apple yang berpangkalan di Cupertino, negeri California juga memainkan peranan pen­ting dalam ekonomi Beijing, kata penganalisis firma permodalan KeyBanc Capital, Brandon Nispel Rabu lalu.

“Larangan yang dilaporkan itu menimbulkan persoalan adakah pemerintah China telah me­ngubah pendiriannya?” kata Nispel.

Pada Rabu lalu, akhbar Wall Street Journal melaporkan bahawa China melarang kakitangan kerajaan pusat menggunakan i­Phone.

Keesokan harinya, agensi berita Bloomberg melaporkan, larangan itu diperluaskan kepada firma disokong kerajaan termasuk gergasi tenaga, PetroChina yang menggaji berjuta-juta pekerja dan mengawal sebahagian besar ekonomi China. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI