MELANGKAHKAN kaki ke dunia hiburan Korea Selatan bermula dengan lakonan, si cantik Im Jin-ah atau nama pentasnya Nana mula diberi kepercayaan membintangi filem dan drama sekitar 2014.
Menerima jolokan Barbie Korea Selatan, dia kemudian melebarkan sayap nyanyian dan meraih populariti saat bugar bersama After School.
Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini selebriti berusia 31 tahun itu kelihatan kembali fokus ke bidang lakonan semula.
Selepas berjaya meraih perhatian menerusi filem Confession dan The Swindlers, Nana kembali menjadi topik popular apabila muncul dengan siri Netflix berjudul Mask Girl.
Akui berbeza daripada filem dan drama terdahulu lakonannya, Nana berkata Mask Girl mempunyai keistimewaan tersendiri.
Drama berkenaan menjadi naskhah gelap dan fantasi pertama lakonannya.

Kata Nana, alasan utama penerimaan tawaran naskhah tersebut bertitik-tolak daripada pengarahnya, Kim Young-hoon.
“Saya antara peminat pengarah naskhah berkenaan dan tawaran ini bagaikan peluang keemasan.
“Berlakon bawah arahan Young-hoon umpama mimpi menjadi kenyataan yang sudah lama saya nantikan.
“Tambahan pula, pihak Netflix beritahu drama ini membawa konsep berat tapi ada elemen baharu dan segar.
“Itu membuatkan saya teruja untuk menerima tawaran tersebut.
“Saya fikir tiada sebab untuk menolak tawaran sebaik ini,” ujarnya.
Mask Girl bersiaran sejak 16 Ogos lalu merupakan adaptasi daripada webtoon mengisahkan seorang wanita, Kim Mo-mi yang tidak yakin dengan wajah dan penampilannya.
Mo-mi lakonan Nana kemudiannya melakukan pembedahan plastik dan berubah imej, daripada pekerja pejabat biasa menjadi pelayan kelab malam.
Selain Nana, Mask Girl turut menampilkan lakonan Lee Han-byul dan Go Hyun-jung.

Adegan bogel
Meraih pujian hebat rata-rata peminat, lakonan Nana bagaimanapun turut mencetuskan rasa tidak selesa penonton. Dia dikatakan terlalu ganas dan berani.
Terdapat adegan yang memperlihatkan bahagian belakang pelakon tinggi lampai ini tanpa seurat benang ketika melalui pemeriksaan di penjara.
Biarpun mungkin bukan tubuhnya yang dipamerkan, penonton tetap mempersoalkan tentang keperluan babak berkenaan dalam drama tersebut.
Menjawab persoalan ramai, pengarah Mask Girl, Young-hoon sendiri mengesahkan babak bogel tersebut dilakonkan sendiri Nana.
Nana juga mengakui, lakonan yang dipersembahkan melangkaui jangkaannya.
“Ya, babak bogel itu dilakukan sendiri Nana tanpa diganti oleh mana-mana pelakon lain.
“Ada satu adegan Nana tersenyum licik selepas pergaduhan dengan muka berlumuran darah.
“Skrip hanya tulis ‘Moni tersenyum’ tetapi apabila dia lakonkan, saya cakap dalam hati, ‘wah dia gila’. Dia buat saya mengaguminya,” ujar Kim.

Kontroversi tatu
Seperti selebriti lain, Nana juga tidak terlepas daripada dihimpit kontroversi. Pelakon itu menerima kecaman apabila secara terbuka mempamerkan tatu di seluruh badannya.
Biarpun bukan satu kesalahan, namun di Korea Selatan, mencacah tatu masih perkara tabu bagi masyarakat negara itu, terutama bagi selebriti yang masih aktif dalam dunia hiburan.
Seorang kru produksi mendedahkan ketika penggambaran Mask Girl, jurusolek terpaksa melalui proses yang sukar bagi menutup tatu yang terdapat pada badan Nana.
Menjelaskan situasi tersebut, Nana mengakui mencacah tatu di seluruh badannya atas keinginan sendiri.
Bagaimanapun, menerusi satu temu bual sebelum tayangan perdana Mask Girl, dia menjelaskan sedang dalam proses membuang tatu-tatu pada badannya.
“Saya buat tatu kerana sedang berjuang dengan emosi yang tidak stabil. Mencacah tatu menjadi satu cara saya melepaskan emosi saya.
“Saya dalam proses membuang tatu ini dan ini juga atas permintaan ibu saya,” ujarnya.















