fbpx

Agong, Permaisuri lawat perkampungan budaya pada hari terakhir kembara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yang di-Pertuan Agong, mencuba sendiri senjata tradisional Sabah di perkampungan budaya KDCA, Penampang hari ini.

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat mengunjungi perkampungan budaya Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang hari ini dalam sediri hari kelima dan terakhir bagi pengembaraan Kembara Kenali Borneo di Sabah.

Dalam kenyataan di laman sosial Istana Negara sebentar tadi, keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda dan rombongan pada pukul 9.30 pagi itu disambut Presiden KDCA, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

“Seri Paduka Baginda berdua amat teruja melihat sendiri budaya daripada pelbagai etnik di Sabah, malah berkenan menyertai aktiviti budaya di perkampungan itu.

“Di Walai Bisaya, Kumpulan Seni Budaya Suasa, Biro Kebudayaan dan Kesenian, Persatuan Bisaya Bersatu Sabah mempersembahkan lagu ‘Joget Pahang’ menggunakan alat muzik tradisional kulintangan dan gong, menarik perhatian Seri Paduka Baginda berdua,” tulis Istana Negara hari ini.

Dalam pada itu, ketika Baginda berdua berada di Rumah Tradisi Murut, pasangan diraja itu berkenan menyertai aktiviti menyumpit menggunakan alat sumpitan suku kaum Murut sebelum menyaksikan demonstrasi lompatan lansaran oleh kakitangan perkampungan budaya itu.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong juga berkenan menyertai demonstrasi masakan tradisi bosou ikan goreng yang merupakan makanan seakan-akan pekasam dan makanan ini menjadi makanan tradisi masyarakat Sabah terutamanya kaum Kadazandusun serta Murut.

“Semasa lawatan itu, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan bersantap bersama rakyat, sebelum meneruskan Kembara Kenali Borneo ke Sipitang,” tambah Istana Negara.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick yang juga Ahli Parlimen Penampang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI