fbpx

Banjir di Greece, Turkiye, Bulgaria ragut 7 nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar menunjukkan situasi banjir yang menenggelamkan kereta dan rumah di Volos, Greece semalam. - AFP

ANKARA, Turkiye – Hujan lebat yang melanda Greece, Turkiye dan Bulgaria mencetuskan banjir besar yang menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh kematian, lapor akhbar The Guardian.

Menteri Dalam Negeri Turkiye, Ali Yerlikaya berkata, dua pelancong maut manakala empat lagi hilang selepas banjir kilat melanda sebuah tapak perkemahan di wilayah Kirklareli berhampiran sempadan Bulgaria. 

Kira-kira 12 pelancong berada di tapak perkhemahan itu ketika banjir berlaku. Mayat dua mangsa tersebut ditemui pasukan penyelamat, manakala usaha mencari empat lagi mangsa masih diteruskan, jelas Ali.

Rakaman video yang disiarkan di televisyen memaparkan anggota penyelamat menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan dan seorang dewasa dari kawasan yang ditenggelami air sehingga paras pinggang. 

Sementara itu, di Greece, polis menutup lalu lintas di tengah bandar Volos, iaitu kawasan pegunungan berhampiran Pelion dan pulau peranginan Skiathos apabila hujan lebat mengakibatkan seorang maut. Dalam masa sama, air deras setinggi paha menghanyutkan kereta di jalan.

Jabatan bomba berkata, seorang lelaki maut berhampiran Volos apabila tembok runtuh lalu menimpanya. Lima orang yang dilaporkan hilang juga mungkin dihanyutkan air banjir.

Pihak berkuasa menghantar amaran menerusi pesanan telefon bimbit di beberapa kawasan lain di tengah Greece, rangkaian Pulau Sporades dan Pulau Evia dengan menasihatkan orang ramai mengehadkan pergerakan mereka di luar rumah.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Bulgaria, Nikolai Denkov berkata, dua orang maut manakal tiga lagi hilang selepas ribut kuat menyebabkan banjir di pantai selatan Laut Hitam negara itu.

Sungai yang melimpah turut menyebabkan kerosakan teruk pada jalan raya dan jambatan. Kawasan itu juga mengalami gangguan bekalan elektrik dan pihak berkuasa memberi amaran kepada penduduk supaya tidak minum air paip kerana risiko pencemaran. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI