fbpx

Mahkamah: Pengundi BN gagal cabar kemenangan Pas di Gua Musang, petisyen dibatal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Razaleigh (depan) diiringi lebih 2,000 penyokong termasuk Orang Asli di pekarangan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang baru-baru ini. FOTO AIMUNI TUAN LAH

KUALA LUMPUR – Seorang pengundi Barisan Nasional (BN) gagal mencabar kemenangan calon Pas, Datuk Mohd. Azizi Abu Naim bagi Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu selepas Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini membatalkan petisyen yang difailkannya.

Hakim Datuk Amarjeet Singh yang bertindak selaku Hakim Pilihan Raya membatalkan petisyen yang difailkan oleh Mohd. Azmi Mahmood mewakili calon BN, Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau memutuskan demikian selepas Mohd. Azmi selaku pempetisyen memecat pasukan peguam daripada dua firma guaman yang mewakilinya termasuk Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk Mohd. Hafarizam Harun.

Perkembangan itu dimaklumkan kepada wakil media oleh peguam Yusfarizal Yussof yang mewakili calon Perikatan Nasional (PN), Azizi Abu Naim (responden) yang memenangi kerusi Parlimen Gua Musang.

“Mahkamah juga dikemukakan surat daripada Azmi kepada firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak bertarikh semalam yang memaklumkan mengenai pemecatan peguam terlibat,” katanya.

Bagaimanapun, surat berkenaan yang diserahkan kepada peguam responden hari ini tidak menyertakan alasan pemecatan peguam-peguam daripada kedua-dua firma guaman itu.

“Dengan pemecatan secara rasmi ini, peguam-peguam yang dilantik oleh saya tidak mempunyai kebenaran untuk bertindak atau mewakili saya dalam pendengaran petisyen pilihan raya Gua Musang,” demikian menurut surat tersebut.

Pada PRU15 lalu, Tengku Razaleigh gagal mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang untuk kali ke-12 apabila tewas kepada Mohd. Azizi yang diumum menang dengan majoriti tipis 163 undi.

Pada 19 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan mengembalikan petisyen itu untuk didengar di Mahkamah Tinggi Kota Bharu agar meritnya diputuskan melalui perbicaraan penuh di hadapan hakim baharu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Mohd. Azmi bahawa Mahkamah Tinggi Kota Bharu terkhilaf ketika memutuskan pemfailan petisyen dilakukan di luar tempoh masa yang ditetapkan.

Panel itu turut berpuas hati bahawa butiran petisyen yang difailkan oleh Mohd. Azmi adalah mencukupi dan memenuhi kehendak undang-undang di bawah Kaedah 4(1)(b) Kaedah-Kaedah Petisyen 1954, dibaca bersama Seksyen 32(a) Akta 5. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI