fbpx

Diserang rakan jiran sebab tegur panggilan kasar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KLANG – Pertengkaran mulut antara dua jiran akibat panggilan kasar berakhir dengan pergaduhan di Jalan Tepi Sungai di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, tiga lelaki termasuk dua beranak berusia 23 hingga 57 tahun itu cedera ringan di bahagian cuping telinga, lengan tangan, pipi serta dada selepas diserang rakan jirannya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku apabila mangsa yang berjalan kaki menuju rumahnya telah dipanggil secara kasar oleh jiran.

Katanya, ini mendatangkan rasa tidak puas hati yang kemudian menegur jirannya itu seterusnya berlaku pertengkaran mulut antara mereka.

Jirannya itu kemudian telah memanggil rakan-rakannya bagi meminta bantuan dan pada masa ahli keluarga mangsa juga telah tiba di hadapan rumah.

“Beberapa lelaki yang kemudiannya sampai di lokasi telah memukul selain membaling batu terhadap mangsa dan ahli keluarganya di halaman rumah mereka.

“Dipercayai semasa kejadian suspek ada menggunakan senjata tajam yang boleh mendatangkan kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kata beliau, bertindak di atas maklumat kemudiannya membawa penahanan lima suspek lelaki berusia 25 hingga 52 tahun bermula pukul 10.50 pagi tadi, di sekitar daerah ini.

Ujar Hoong Fong, semakan mendapati tiga daripada suspek mempunyai sekurang-kurangnya empat rekod jenayah lampau dan permohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Klang, esok.

“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk sekiranya wujud elemen kongsi gelap,” tegasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan pihaknya mengesan beberapa video berkaitan kejadian itu telah tular di media sosial dan menasihatkan orang ramai agar tidak menularkannya bagi mengelakkan kegusaran masyarakat.

“Sebarang maklumat berhubung kejadian itu boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Daerah ini di talian 03-33762222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI