fbpx

Verstappen julang kemenangan ke-10 berturut-turut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMANDU Red Bull Racing, Max Verstappen menjulang kemenangan di atas podium sejurus muncul juara di Grand Prix Itali.

MONZA, Itali – Pelumba Red Bull, Max Verstappen menepati ramalan apabila melakar kemenangan di Grand Prix (GP) Itali sekali gus melebarkan kemenangan ke-10 berturut-turut dalam perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini.

Lebih manis, pasukan Red Bull melakar kemenangan 1-2 selepas rakan sepasukan Verstappen, Sergio Perez menamatkan saingan tempat kedua sejurus berjaya mengatasi pasukan tuan rumah Ferrari, Carlos Sainz yang akur di tempat ketiga.

Sainz yang memulakan saingan petak pertama gagal mempertahan kedudukan itu selepas diasak hebat dua pelumba Red Bull sebelum terpaksa berpuas hati sekadar di podium. Bagaimanapun, Sainz tampak gembira kerana ia adalah penampilan podium pertamanya musim ini.

Hasil keputusan tersebut, Verstappen terus melebarkan kelebihannya dalam kedudukan carta keseluruhan kategori pemandu dengan mengatasi Perez kepada 145 mata ketika perlumbaan hanya berbaki lapan pusingan.

“Saya tidak percaya bahawa saya mampu melakukannya. Kami terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan rekod tersebut dan akhirnya ia menjadi kenyataan.

“Saya gembira dengan keputusan yang kami capai pada hari ini dan terima kasih kepada semua,” kata Verstappen yang melakar rekod baharu kemenangan 10 kali berturut-turut.

Pemandu berusia 29 tahun itu kini telah melakar 12 kemenangan perlumbaan musim ini dan hampir pasti akan merangkul gelaran ketiga berturut-turut F1 selepas memecahkan rekod dikongsi bersama Sebastian Vettel dengan muncul juara di Zandvoort minggu lalu. -AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI