fbpx
Gambar hiasan.

Tertekan hidup dapat suami tahi hidung masin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANYALAH kepada sesiapa sahaja, pasti tiada antara kita yang mahukan perpisahan dan mengakhiri sesuatu perhubungan.

Namun, jika sudah dikatakan takdir, siapa kita untuk menolaknya meskipun kadangkala penyebab kepada perpisahan itu mungkin sukar dihadam.

Berada dalam situasi seumpamanya beberapa tahun lalu, Ardila (bukan nama sebenar) tidak akan pernah melupakan perpisahan yang berlaku dalam hidupnya bersama bekas suami sebelum ini.

Berkongsi rasa bersama Dari Mahkamah Syariah, dia yang dikurniakan seorang cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama Reedz (bukan nama sebenar) langsung tidak pernah menyangka kebahagiaannya hilang direntap begitu sahaja.

“Saya kenal dengan suami lebih kurang tujuh tahun lalu. Perkenalan kami tidak lama dan begitu singkat. Tak silap dalam dua tahun kenal, terus kami nikah.

“Saya jenis yang tidak berapa fikir sangat tentang kerjaya atau kekayaan. Niat saya hanya mahu berumah tangga dan menjadi isteri serta ibu sama seperti wanita lain,” ujarnya membuka kata.

Jelas Ardila, dia dan suaminya sama-sama bertugas sebagai pegawai bank, namun bukan di cawangan atau bank yang sama.

Ujarnya, suaminya yang sedikit muda daripadanya juga sama sepertinya tidak memandang harta atau pangkat dan memang mahu berumah tangga.

Cerita Ardila, cuma ada satu perkara yang selalu menjadi persoalan dan bermain di fikirannya mengenai sikap lelaki negeri kelahiran Pantai Timur itu.

“Apa yang saya perasan, sejak dari kenal suami, dia seorang yang agak kedekut atau berkira dalam erti kata lain ‘tahi hidung masin’.

“Semasa awal perkenalan, boleh dikatakan setiap kali keluar dating (bertemu), dia jarang sekali nak bayar apa yang kami makan atau minum.

“Biasanya awal-awal dia dah cakap dan pesan untuk saya belanja dia. Macam tu juga kalau bab nak keluar bersama, dia lebih gemar saya yang jemputnya di rumah sewanya walhal masing-masing ada kereta.

“Tetapi saya anggap perkara tersebut biasa sahaja sebab faham ketika itu dia sedang berusaha kumpul duit hantaran dan majlis perkahwinan kami,” tuturnya.

Pejam celik, hampir dua tahun hidup sebagai pasangan suami isteri, kebahagiaan dalam rumah tangga lebih terisi dengan kehadiran cahaya mata pertama mereka.

Beritahu Ardila, 35, bukan mahu mengungkit apatah membangkit, sejak dari perkenalan hingga dikurniakan anak, dia jarang sekali ‘merasa’ wang suaminya.

“Bayangkan sampai duit bil hospital kelahiran anak pun saya sendiri yang bayar. Suami kata, guna wang saya dulu.

“Itu belum soal pakai, makan serta minum saya dan anak. Boleh dikatakan semuanya saya sendiri tanggung.

“Saya fikirkan sifat kedekutnya itu akan hilang selepas kahwin, tetapi makin menjadi-jadi pula,” katanya.

Cerita Ardila lagi, suaminya cuma memberi wang dapur RM350 sebulan dan meminta saya untuk berjimat cermat dengan wang tersebut.

Katanya lagi, jika tidak mencukupi atau perlukan tambahan, dia meminta untuk saya tambah sendiri menggunakan wang saya kerana kami sama-sama bekerja.

“Suami selalu beri alasan dia tak nak boros dan mahu berjimat cermat. Kalau dengan anak bini dia memang kedekut, tapi kalau dengan kawan-kawan makan di luar tak apa pula.

“Lebih dua tahun hidup dengan dia, boleh saya kira dengan jari berapa kali sahaja dia bawa saya keluar makan bersama anak dan bayar guna wang dia.

“Itu belum sentuh soal hadiah hari jadi atau ulang tahun perkahwinan, lagilah satu apa pun saya tak pernah dapat. Saya kadang jadi pelik dan tertekan dengan sifat kedekut suami,” ujarnya lagi.

Beritahu Ardila lagi, paling membuatkannya naik angin dan hilang sabar, suami seakan-akan buat tidak tahu dan seperti tiada apa yang berlaku.

Selepas tiga tahun hidup bersama lelaki tahi hidung masin, semuanya mahu ditanggung, Ardila nekad untuk dilepaskan kerana sudah tidak tahan lagi dengan perangai suaminya itu.

“Dia kerja tapi ibarat tidak kerja. RM350 yang diberi setiap bulan, itupun kadangkala dia minta semula untuk pakai dulu.

“Jujur saya cakap, selama ini saya seperti bela biawak hidup. Kelengkapan rumah dan semua bil api, air saya yang uruskan. Suami cuma bayar ansuran keretanya saja.

“Nak ajak balik kampung pun berkira. Kalau balik pun, tidak boleh lama-lama dan saya yang kena sediakan duit minyak, tol serta wang untuk diberikan kepada ibu dan bapa mentua,” ungkapnya.

Keputusan yang dibuat Ardila juga bukanlah keputusannya sendiri tetapi turut mendapat nasihat daripada beberapa ustaz dan ustazah selain keluarga terdekat.

Hampir enam bulan turun naik mahkamah syariah, keputusan memihak kepadanya termasuk hak penjagaan anak. Ardila reda serta menghalalkan semua yang pernah diberikan kepada bekas suaminya itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN