fbpx

JPN teliti kes wanita usia 21 tahun tiada kad pengenalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wanita berusia 21 tahun dikenali sebagai Melisa (duduk) dilaporkan tidak mempunyai kad pengenalan hingga kini. - Foto Facebook Syed Saddiq

PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan telah menghubungi wanita berusia 21 tahun yang tidak mempunyai kad pengenalan dikenali sebagai Melisa untuk mendapatkan fakta kes mengenai permohonan sebenar seterusnya menjalankan penelitian sewajarnya.

JPN dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum isu tersebut yang dibangkitkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai kesukaran hidup wanita itu yang tidak mempunyai kad pengenalan.

“Rentetan hantaran tersebut, perkara berkaitan permohonan kewarganegaraan menjadi perdebatan umum oleh warga internet.

“JPN ingin memohon agar orang ramai tidak mensensasikan perkara itu dan seterusnya memberikan tanggapan yang tidak benar kepada perkhidmatan kerajaan.

“Proses dilaksanakan JPN adalah sentiasa tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan selari dengan undang-undang yang berkuat kuasa bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terjamin,” katanya tadi.

JPN berkata, orang ramai yang mempunyai masalah bukan sahaja mengenai kewarganegaraan, namun pelbagai perkhidmatan lain seperti pendaftaran lewat kelahiran, masalah cap ibu jari, sijil pengangkatan anak angkat, prosedur perkahwinan bukan Islam dan lain-lain boleh hadir terus ke mana-mana 212 pejabat JPN.

“Pemohon dinasihatkan hadir sendiri tanpa menggunakan khidmat ejen atau orang tengah kerana setiap permohonan dan masalah individu mungkin memerlukan penyelesaian yang berbeza.

“Untuk mendapatkan informasi awal berkaitan perkhidmatan JPN, orang ramai boleh merujuk portal dan media sosial rasmi JPN yang sentiasa menyediakan maklumat terkini sebagai panduan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI