fbpx

NFCorp berjaya dalam rayuan saman sivil terhadap bank berhubung kerahsiaan akaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Salleh (kiri) dan peguam Muhammad Shafee (kanan) ketika hadir di Mahkamah Rayuan hari ini. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR / KOSMO!

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan rayuan National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp) dan tiga lagi berhubung saman sivil mereka terhadap Public Bank Bhd. kerana melanggar kontrak untuk melindungi kerahsiaan akaun bank mereka.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azizah Nawawi bersama-sama dua lagi hakim Datuk P.Ravinthran dan Datuk S.Nantha Balan selepas membenarkan rayuan NFCorp selaku perayu.

Dengan keputusan itu, sekali gus mengenetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini menolak saman difailkan NFCorp dan tiga lagi terhadap bank tersebut.

Dalam keputusan yang dibacakan hakim Nantha Balan, panel-panel berpendapat terdapat kekhilafan yang dibuat Mahkamah Tinggi yang mana ia memerlukan campur tangan rayuan di pihak hakim.

“Hakim perbicaraan tidak mengendahkan bukti penting khususnya, keterangan Ketua Audit Siasatan bank Veronica Foo di hadapan panel siasatan domestik bank dan sememangnya pendirian bank terhadap pertuduhan salah laku serius terhadap seorang kakitangan perkeranian bank itu, Johari Mohamed yang melanggar Seksyen 97(1) Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA) 1989.

“Oleh itu kami (panel hakim) membenarkan rayuan perayu atas liabiliti berkenaan,” kata hakim itu.

Justeru dengan keputusan tersebut mahkamah turut mengarahkan Public Bank membayar kos sebanyak RM500,000 selain RM10,000 sebagai ganti rugi nominal.

Dalam prosiding hari ini, NFCorp dan tiga lagi diwakili peguam Tan Sri Muhamad Shafee Abdullah manakala peguam Poh Choo Hoe mewakili Public Bank selaku responden.

Pada 29 Julai 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman yang difailkan NFCorp, Pengerusi Eksekutifnya Datuk Mohamad Salleh Ismail dan dua anak syarikatnya iaitu National Meat and Livestock Corporation Sdn. Bhd. dan Agroscience Industries Sdn. Bhd. terhadap bank tersebut.

Dalam saman yang difailkan perayu terhadap bank itu pada 22 Mei 2012, mereka mendakwa reputasi dan kebolehpercayaan perniagaan mereka terjejas berikutan pelanggaran Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) oleh bank itu.

Sebelum ini, Muhammad Shafee berhujah bahawa bank itu sepatutnya dipertanggungjawabkan kerana membocorkan maklumat anak guamnya kepada pihak ketiga.

Beliau berkata siasatan dalaman bank itu mendapati seorang bekas keraninya yang bertugas di jabatan kredit di salah sebuah cawangannya, bersalah kerana mengakses maklumat akaun pelanggannya tanpa kebenaran.

Peguam itu berkata penyata bank itu digunakan sebagai satu alat untuk memusnahkan Mohamad Salleh, sambil menambah kesannya anak guam beliau menderita berikutan kebocoran maklumat itu dan dipandang sebagai tidak mampu lagi mempertahankan perniagaannya.

Bagaimanapun, peguam bank Yoong Sin Min yang ketika itu mewakili bank tersebut berhujah tidak berlaku pelanggaran kontrak oleh pihak bank kerana tiada bukti bekas kerani bank itu telah menyebarkan maklumat atau menyebabkan maklumat itu disebarkan.

Beliau berkata dokumen yang dikeluarkan oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Rafizi Ramli (kini Menteri Ekonomi) pada masa itu bukannya dokumen yang dicetak oleh bekas keraninya.

Katanya, bank itu meletakkan kerahsiaan perbankan sebagai keutamaan tertinggi dan telah menyediakan sistem dan prosedur untuk memastikan kerahsiaan perbankan dan dalam semua kejadian tindakan telah diambil secara jujur dan serta merta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI