fbpx

Banduan larikan diri dari Pusat Reintegrasi Penghuni Mantin berjaya diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SEREMBAN – Seorang banduan warganegara asing yang bertindak nekad melarikan diri dari Pusat Reintegrasi Penghuni Mantin, di sini, semalam berjaya ditahan semula.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, penahanan tersebut dibuat selepas polis telah melancarkan Op Tutup dan membuat rondaan bermotorsikal untuk mengesan banduan yang bakal melalui proses pengusiran 13 hari lagi di kawasan berhampiran.

Menurutnya, polis bersama pegawai jabatan penjara berjaya menangkap suspek di kilometer 29, Lebuhraya Lekas iaitu kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian pada pukul 10 malam.

“Permohonan reman ke atas suspek berusia 39 tahun itu telah dibuat di Mahkamah Majistret Seremban pagi tadi dan telah diluluskan selama empat hari bermula hari ini. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu, Abdul Malik berkata, pihaknya menerima aduan di kaunter aduan Balai Polis Mantin pada pukul 6.55 petang semalam berkenaan banduan melarikan diri dan hasil siasatan mendapati banduan berkenaan telah dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta lima sebatan pada tahun 2017.

Menurutnya, banduan tersebut dihukum atas kesalahan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan oleh Mahkamah Sesyen Temerloh.

“Banduan berkenaan telah ditempatkan di Pusat Reintegrasi Penghuni Mantin sejak 19 Jun 2023 bagi proses pengusiran pada 9 September ini,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI