Menghadiri sesebuah majlis bertaraf mega, pameran dan persidangan yang melibatkan penyertaan golongan kenamaan, kumpulan cerdik pandai dari luar negara yang dilantik sebagai speaker, penajaan dan juga jemputan peserta bukan satu kerja mudah yang boleh dirancang dalam seminggu dua.
Ia sebenarnya memerlukan satu cadangan kertas kerja yang menyeluruh, pengkajian, ketelitian, kesungguhan, minat dan juga bajet yang besar selain disokong oleh pelbagai faktor lain termasuk kumpulan kerja yang berpengalaman.
Tetapi sebuah syarikat bumiputera, Opu Go Entertainments Sdn. Bhd. (Opu Go) milik usahawan wanita, Aida Radzi yang telah memiliki pengalaman lebih 15 tahun dalam bidang tersebut mampu melaksanakan misi besar itu dengan jayanya.
Mengakui bahawa ia adalah satu bidang yang sukar dan mencabar tetapi kerana kesungguhan dan minatnya, banyak program mega di negara ini telah berjaya dilaksanakan.

Melalui air tangan Aida bersama kakitangannya yang komited, Karnival Iktiraf (program Ikatan Hati Warga Felda), Perlis International Duathon dan KL BIM Day menjadi antara rekod terbaik pengurusan acara yang dilaksanakan sebelum ini.
“Kami sangat opportunist dan kami memiliki niche market, malah kami kini sudah sampai ke tahap kelas satu termasuk menjadi pilihan syarikat dari luar negara,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.
KOSMO!: Berapa lama usia syarikat?
Aida: Kami sudah beroperasi selama 15 tahun sebagai sebuah pengurusan acara, rumah produksi yang menerbitkan pelbagai dokumentari dan video korporat.
Kami cenderung kepada sektor korporat dengan menguruskan pelbagai persidangan, perasmian majlis, pameran, seminar, jamuan makan malam korporat. Sepanjang tempoh ini, lebih 80 peratus pendapatan adalah daripada segmen kerajaan.

Siapakah pelanggan syarikat?
Kami banyak berurusan dengan beberapa kementerian dan agensi kerajaan yang mana antaranya adalah CIDB Malaysia sejak tahun 2015.
Kami juga ada terlibat dengan yayasan dan beberapa syarikat swasta. Terbaharu kami telah mengendalikan satu majlis yang agak besar iaitu KL BIM Day (Building Information Modelling) pada bulan Julai lalu anjuran Kementerian Kerja Raya dan CIDB Malaysia.
Susulan program tersebut, kami telah dilantik oleh syarikat antarabangsa iaitu Autodesk untuk meminta kami menguruskan satu majlis terbaharunya yang akan diadakan pada suku keempat tahun ini.
Kenapa syarikat menjadi pilihan syarikat antarabangsa?
Pada persidangan KL BIM Day yang lalu, syarikat Autodesk adalah salah satu penaja majlis berkenaan dan apabila mereka lihat kejayaan dan perjalanan lancar majlis dari hari pertama hingga selesai, ia memberi keyakinan kepada pihak pengurusan tertinggi Autodesk.
Sebaik saja pulang ke ibu pejabat di Amerika Syarikat, mereka terus menghubungi saya untuk mengesahkan pelantikan tersebut. Mereka mahu kami menguruskan satu persidangan anjuran syarikat pada bulan Oktober ini.

Pada awal operasi, bagaimana syarikat dapat memenangi kontrak daripada pelanggan?
Itulah masalah yang kami hadapi tahun pertama yang mana kebanyakan cadangan penganjuran majlis banyak ditawarkan secara percuma untuk meningkatkan keyakinan tetapi kami berjaya menganjurkan majlis tersebut.
Kami dijemput semula untuk tahun kedua dan di situ kami mula mengenakan bayaran tetapi kami tambah baik dan perbaiki lagi penganjuran majlis sehingga keyakinan tersebut terus kukuh sehingga dipanggil untuk penganjuran tahun ketiga.
Jadi di situlah kami berjaya mendapatkan projek-projek baharu dan membina rangkaian sehingga memiliki pelanggan yang setia sehingga ke hari ini. Kami juga memiliki kumpulan tenaga kerja yang kuat bekerja menyokong perjalanan syarikat.
Apakah kelebihan syarikat berbanding pesaing?
Apa yang kami tawarkan agak berbeza daripada konsep yang ditawarkan oleh pemain lain.
Kami akan cadangkan satu kertas kerja yang lengkap, bukan sekadar menguruskan majlis tetapi mencadangkan satu idea yang asli, segar dan baharu untuk sesebuah majlis yang mana kami akan buat pembentangan kertas kerja termasuk kepada lembaga pengarah.
Dari situ, kami akan buat penambahbaikan dan tambah nilai serta akan memastikan apa yang dirancang akan dilaksanakan pada majlis tersebut.
Apakah cabaran yang dihadapi selepas pandemik kini?
Banyak syarikat dan agensi memiliki bajet yang terhad dan banyak perbelanjaan terpaksa dipotong.
Apatah lagi sekarang banyak pemain baharu yang sanggup menerima bidaan kos yang lebih kecil sehingga membuatkan ia memberi kesan kepada syarikat utama sedia ada termasuk Opu Go.
Mereka (pemain baharu) yang sanggup mengambil projek dengan kos yang murah akhirnya tidak dapat memenuhi keperluan pelanggan.
Tetapi kami ada pasaran khusus dan kami juga sentiasa meningkatkan pengetahuan pelanggan sedia ada tentang perkhidmatan menyeluruh yang kami tawarkan.
Hampir 85 peratus daripada persiapan penganjuran majlis yang sedang kami lakukan bakal dipersetujui pelanggan, manakala bakinya perlu dibuat penambahan atau diubah suai mengikut maklum balas pelanggan sebelum majlis mula berlangsung.

Apa strategi syarikat untuk berdepan dengan cabaran tersebut?
Kami akan cadangkan satu projek atau majlis baharu, kami tidak akan buat sesuatu yang sudah ada di pasaran.
Kami sangat opportunist. Selalunya bila ada pertukaran jawatan di peringkat tertinggi di sesebuah syarikat atau agensi, kami akan bertemu dengan ketua baharu tersebut dan membuat cadangan baharu khususnya majlis yang mereka mahu lakukan, selalunya mereka akan terima cadangan tersebut.
Bagaimanapun untuk mendapatkan persetujuan awal tersebut, kami perlu melakukan banyak kajian dan pembangunan.
Kami perlu tahu apa yang ketua dan kumpulan baharu itu suka dan juga minat serta dorongan mereka.
Jadi kami akan bangunkan atau ciptakan projek tersebut untuk memenuhi kehendak mereka.
Kami kena cepat bertindak untuk mengusulkan cadangan baharu. Selain itu, kami turut mengkaji belanjawan negara setiap tahun selepas dibentangkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan.
Kami mengkaji perbelanjaan kewangan kerajaan dengan peruntukan yang disalurkan kepada pelbagai kementerian. Dari kajian itu, kami akan cuba mencari peluang untuk membuat cadangan projek yang bakal dilaksanakan melalui peruntukan tersebut. -KOSMO!ONLINE
















