fbpx

Terkejut, kekok bekas suami jadi menantu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NISA tidak menyangka suami baharu yang dikahwininya merupakan bapa kepada seorang perempuan yang pernah memusnahkan rumah tangga terdahulunya. – GAMBAR HIASAN

PERJALANAN hidup seseorang merupakan sesuatu yang sudah ditulis dan tiada siapa mampu meramal bagaimana arah dan juga pengakhirannya.

Bagi Nisa (bukan nama sebenar), dia sama sekali tidak menyangka naratif hidupnya berlaku dalam keadaan di luar jangka.

Nisa telah bercerai dengan bekas suaminya dua tahun lalu dan selepas itu bertemu jodoh pula dengan seorang lelaki lain. Namun, kini bekas suaminya itu muncul semula dalam hidupnya tetapi sebagai menantu.

“Saya akui agak kekok dan sukar untuk membiasakan diri dengan perubahan ini, namun saya reda jika ini jalan yang Allah pilih untuk saya,” ungkapnya kepada Panorama.

Mengimbas kisahnya dari awal, cerita Nisa, perkahwinan yang dibina bersama bekas suami, Ali (bukan nama sebenar) lebih lapan tahun musnah angkara orang ketiga, sekali gus menjadikan dirinya bergelar janda selama dua tahun.

Cerita Nisa, punca dia bercerai adalah kerana suaminya, Ali berlaku curang dengan teman sepejabatnya bernama Kira (bukan nama sebenar).

“Ali terpikat dengan Kira yang merupakan staf baharu di tempat kerjanya dan Kira pula melayani lelaki itu biarpun tahu bahawa Ali sudah mempunyai isteri.

“Ketika itu saya yang tidak boleh memaafkan suami lalu memilih untuk mengundur diri, maka bermulalah kehidupan saya sebagai seorang janda,” ujarnya.

Nisa reda dan menerima takdir yang sudah tertulis untuknya dan mula membina hidup baharu di sebuah negeri di selatan tanah air.

Di sana, dia bekerja di sebuah syarikat swasta yang agak terkenal.

Nisa menyewa bilik bersama seorang teman sepejabatnya yang juga menjadi sahabat karibnya.

Sahabatnya itu bekerja di bahagian sumber manusia dan cukup akrab dengan seorang pengurus atasan syarikat tempat mereka bekerja iaitu Encik Zul (bukan nama sebenar).

Encik Zul merupakan seorang lelaki berusia pertengahan 50-an, namun masih segak dan tegap. Dia juga merupakan seorang duda yang kematian isteri akibat kanser usus.

Ujar Nisa, tidak banyak yang dia tahu tentang Encik Zul dan kesemua maklumat mengenai lelaki itu hanya diketahui menerusi kawannya.

Satu hari, syarikat tersebut mengadakan majlis jamuan potluck dan kesemua pekerja diminta untuk datang bersama juadah istimewa mereka.

“Saya memilih untuk memasak ayam masak merah yang boleh dikatakan menu signatur saya. Adik-beradik saya pernah cakap, ayam masak merah saya memang cukup enak dan mampu tambat hati ibu mentua,” kongsi Nisa.

Ternyata, majlis itu menjadi titik pertemuan Nisa dengan Encik Zul yang ketika itu mula terpikat dengan air tangan Nisa.

Lelaki itu asyik memuji masakan Nisa dan tanpa segan silu meminta kawan Nisa itu untuk memperkenalkannya.

“Encik Zul berkata, dia serius mahu berkenalan dengan saya dan memandangkan saya juga sedang solo, maka saya menyambut salam perkenalan itu dengan hati terbuka dan kami mulai berkawan.

“Selepas beberapa bulan, hubungan kami semakin akrab dan Encik Zul melamar saya sebagai isterinya,” ujar Nisa yang kemudiannya berkahwin dengan lelaki itu tahun lalu.

Jelas Nisa, sepanjang berkenalan dengan suaminya itu, dia belum sempat bertemu dengan tiga orang anak Encik Zul yang kesemuanya bekerja dan tinggal di ibu kota.

Suaminya itu kemudian memanggil kesemua anaknya untuk pulang ke rumah bagi berkenalan dengan ibu tiri mereka.

“Selepas mendengar bunyi enjin kereta di luar rumah, maka saya dan suami terus membuka pintu rumah dan bersedia menyambut anak-anak yang pulang.

“Alangkah terkejutnya saya apabila melihat wajah bekas suami, Ali dan isterinya Kira di pintu rumah,” ujar Nisa.

Ternyata, Kira merupakan puteri sulung Encik Zul dan lebih mengejutkan bekas suami Nisa kini bertukar status menjadi menantunya.

Biarpun pada awalnya sukar menerima hakikat itu, Nisa yang kini merupakan ibu tiri Kira bagaimanapun bersyukur kerana jodoh kali keduanya itu cukup membahagiakan. sehingga dia lupa pada perbuatan bekas suami.

“Saya dan suami amat bahagia dan saya fikir, itu lebih penting daripada melayan perasaan sakit hati dan dendam terhadap bekas suami dan juga Kira,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI