fbpx

Peniaga jangan letak syarat jual gula pasir biasa – Fuziah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FUZIAH Salleh (tengah) melancarkan Jualan Rahmah bergerak peringkat negeri Pahang di perkarangan Stadium Darul Makmur di Kuantan, hari ini.

KUANTAN – Tindakan peniaga yang menjual gula pasir biasa secara bersyarat berikutan lambakan stok gula premium dalam simpanan adalah salah di sisi undang-undang.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, peniaga tidak boleh menjadikan alasan untuk menghabiskan penjualan gula di premis mereka dengan melakukan tindakan tersebut.

“Tidak boleh (gunakan) apa pun alasan sama ada (alasan) stok (gula premium) banyak atau sebagainya.

“Perkara itu adalah satu kesalahan kerana pengguna juga ada hak dan dilindungi mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 (atau Akta 599),” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan program jelajah jualan Rahmah dan pelancaran jualan Rahmah bergerak peringkat negeri Pahang di perkarangan Stadium Darul Makmur, di sini, hari ini.

Semalam, pasukan penguatkuasa KPDN Perak menyerbu sebuah premis perniagaan di Batu Gajah, dekat Ipoh selepas menerima aduan mengenai tindakan peniaga tersebut meletakkan syarat untuk pembelian gula pasir biasa.

Bagaimanapun, Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail dilaporkan berkata, pegawai penguat kuasa telah melakukan pemeriksaan dengan taktik penyamaran di premis terbabit.

Katanya, pihaknya telah mendapati pemilik kedai itu meletakkan syarat untuk pembelian gula pasir kasar yang mana perlu terlebih dahulu membeli 1 kilogram gula putih jernih (premium) berharga RM4.50 sepaket.

Sementara itu, mengulas mengenai program jualan Rahmah di Pahang, Fuziah berkata pihak KPDN merancang untuk mengadakan sekurang-kurangnya dua kali sebulan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Jelasnya, sejak dilancarkan awal tahun ini, program Jualan Rahmah sudah memberi manfaat kepada lebih 200,000 penduduk di Pahang.

“Namun begitu, bagi penjualan Jelajah Rahmah Bergerak pula, ia agak baharu di negeri ini namun kita akan cuba untuk pergi ke semua 42 dun yang membabitkan 336 lokasi ditetapkan sebelum akhir penghujung tahun ini.

“Kita memang memberi tumpuan di kawasan pendalaman dan kalau ada sesiapa mahu ‘#KedaiCariRakyat’ ini ke kawasan mereka, boleh berhubung dengan KPDN,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI