fbpx

Suhaizan, Nazri teruskan legasi Salahuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADLY (tiga dari kanan) menyampaikan replika cek pada Majlis Apresiasi SPM, STPM, STAM 2022 Parlimen Alor Gajah di Kolej Universiti Agro Sains Malaysia (UCAM), Melaka.

ALOR GAJAH – Dua calon ditampilkan Parti Amanah Negara (Amanah) bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram adalah sehebat penyandang kerusi, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayob.

Naib Presiden Amanah, Adly Zahari berkata, calon berkenaan iaitu Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kaiat bagi Parlimen Pulai dan Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri, Ir. Nazri Abdul Rahman di DUN Simpang Jeram mempunyai kekuatan kerana disenangi pengundi.

Menurutnya, pengundi di kedua-dua kerusi cukup mengenali calon terlibat kerana sudah berkhidmat puluhan tahun di kawasan masing-masing.

“Kalau kita lihat macam Suhaizan, dia telah lama memberikan khidmat kepada masyarakat di Parlimen Pulai kerana dia adalah Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

“Jadi seluruh masanya dimanfaatkan untuk kawasan itu dan saya yakin dia (Suhaizan) boleh meneruskan legasi Salahuddin di Parlimen Pulai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi SPM, STPM, STAM 2022 Parlimen Alor Gajah di Auditorium Datuk Dr. Faridah, Kolej Universiti Agro Sains Malaysia (UCAM) di sini, semalam.

Mengulas mengenai Nazri, Adly berkata, pengalamannya berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaran Muar (MPM) lebih 30 tahun memberi kelebihan kepadanya berbanding dua calon lawan.

Katanya, pengalaman di MPM merupakan bukti pencapaian terbaik Nazri bagi meneruskan khidmatnya bukan sebagai jurutera tetapi selaku wakil rakyat.

“Berdasarkan kelebihan ini saya yakin pengundi wajar memilih Nazri sebagai calon wakil rakyat untuk meneruskan legasi ditinggalkan Allahyarham,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI