fbpx

Pos Malaysia sasar miliki 200 motosikal elektrik, 143 van elektrik menjelang akhir tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Charles Brewer (tengah) pada majlis penyerahan motosikal elektrik kepada Pos Malaysia di Kuala Lumpur semalam.

PETALING JAYA – Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) telah menerima 50 motosikal elektrik daripada Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas), pemasang  MEV-1, DRB-HICOM EZ- Drive Sdn Bhd (Avis) dan  penyedia program pajakan MEV-1 sebagai misi mencapai sifar bersih menjelang tahun 2050.

Ini adalah usaha syarikat untuk memenuhi tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam melaksanakan Pelan Hala Tuju Kelestariannya dan menjadi pelopor serta contoh utama dalam sektor.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Charles Brewer berkata, inisiatif ini adalah  penanda dalam komitmen berterusan pihaknya terhadap kelestarian alam sekitar. 

“Selain daripada jumlah keseluruhan 55 buah motosikal elektrik yang telah beroperasi di Lembah Klang, kami akan memobilisasikan 50 lagi motosikal elektrik Modenas ke negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia, termasuk Johor, Kedah, Pulau Pinang, dan Perak. 

“Matlamat kami adalah untuk mempunyai sasaran 200 buah motosikal elektrik dan 143 van elektrik di seluruh Semenanjung Malaysia menjelang akhir tahun 2023,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Tambah beliau, ini adalah komitmen Kumpulan untuk mengurangkan emisi pelepasan gas, meningkatkan kecekapan tenaga dan menghargai teknologi yang lebih mesra alam tetap utuh.

“Kami juga mahu menjadi satu-satunya syarikat lojistik yang komited kepada capaian sifar bersih sekali gus mengalu-alukan sokongan syarikat korporat dan para pengguna kepada cara penghantaran yang lebih mesra alam,” ujarnya.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan berkata, “MEV-1 mewakili inovasi dan penyelesaian mobiliti lestari serta melambangkan komitmen Modenas  untuk menyediakan alternatif pengangkutan yang mesra alam di Malaysia dan di luar negara. 

“Dengan teknologi terkini dan reka bentuk yang elegan, MEV-1 melambangkan lonjakan yang signifikan ke arah masa depan yang lebih mesra alam bagi landskap pengangkutan negara,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi Avis Malaysia,  Mohd. Syahrul Yusuf menjelaskan, pihaknya berbangga bekerjasama dengan Pos Malaysia untuk menyumbang secara aktif kepada pengurangan jejak karbon di Malaysia. 

“Terdapat potensi besar bagi kita untuk berbuat lebih baik untuk bumi ini dan kami ingin memastikan penggunaan bahan api dan pencemaran berkurangan, melalui penggunaan cara-cara inovatif untuk menggalakkan kecekapan tenaga,” jelasnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI