fbpx

Sewa 20 peratus lebih rendah di bawah Skim Sewa Perak Sejahtera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMED AKMAL menunjukkan model rumah mampu milik di pejabat LPHP, Meru, Ipoh semalam.

IPOH – Skim Sewa Perak Sejahtera (SSPS) merupakan satu daripada pelbagai inisiatif kerajaan negeri Perak bagi membantu golongan sasaran untuk menyewa kediaman pada harga lebih rendah daripada nilai pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), Mohamed Akmal Dahalan berkata, SSPS yang diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad baru-baru ini dimulakan di daerah Manjung iaitu Taman Perakku Serdang di Sitiawan.

Beliau berkata, untuk permulaan, sebanyak 12 buah rumah mampu milik di taman tersebut akan terlibat dengan skim ber­kenaan.

“Mereka yang terpilih untuk menyewa di bawah SSPS akan ditawarkan diskaun 20 peratus daripada kadar semasa sewaan di satu-satu kawasan.

“Ini bermakna, sebagai contoh, sekiranya kadar sewa di sebuah ­taman itu adalah sekitar RM600, peserta skim berkenaan hanya perlu membayar sewa RM480 sahaja,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Pada masa sama, Mohamed Akmal berkata, pihaknya menjangkakan kemasukan ke 12 unit rumah di Taman Perakku Serdang pada hujung tahun ini.

“Skim ini akan diperluaskan di kawasan lain juga di negeri ini. Kita akan lihat keperluan untuk menawarkan SSPS di lokasi-lokasi ­ber­kenaan dan antara perkara akan dikaji termasuklah aspek permintaan di sana.

“Kita telah mengenal pasti beberapa lokasi bagi SSPS antaranya di Batang Padang, Bidor dan Seri Iskandar,” katanya yang turut memaklumkan, jumlah rumah ditawarkan di suatu kawasan berbeza mengikut permintaan.

Mohamed Akmal berkata, SSPS juga tidak hanya tertakluk kepada suatu kawasan kediaman yang sedang dibangunkan kerana ia turut boleh dilaksanakan di lokasi perumahan sedia ada.

“Jika suatu kawasan itu tiada projek perumahan, kita mempunyai pilihan untuk membeli hartanah di kawasan yang telah siap dibangunkan.

“Kemudiannya kita akan jadikan unit-unit yang dibeli tersebut sebagai sebahagian daripada SSPS.

“Paling penting tujuan kita ­adalah membantu golongan sasaran untuk menyewa dengan kadar lebih rendah daripada nilai ­semasa,” katanya.

Menurutnya, antara syarat ditetapkan bagi pemohon SSPS termasuklah berusia 18 tahun ke atas, berstatus warganegara, mempunyai pendapatan tetap, dengan keutamaan akan diberikan kepada pemohon yang pendapatan isi rumahnya RM8,000 sebulan serta telah berkahwin.

“Tujuan SSPS dilaksanakan ialah untuk menyediakan perumahan kepada golongan yang masih belum berkemampuan untuk membeli rumah sendiri atau tidak layak mendapat pembiayaan kewangan pembelian rumah.

“Selain itu, inisiatif ini juga menyokong agenda Perak Sejahtera 2030 iaitu untuk menyediakan perumahan yang berkualiti kepada rakyat Perak,” katanya.

Tambahnya, LPHP akan mengeluarkan panduan kaedah permohonan melalui laman web kami dalam masa terdekat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI