fbpx

571 kes bernikah guna sindiket dikesan JAWI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramai pasangan tempatan memilih untuk bernikah di Thailand setiap tahun atas pelbagai faktor termasuk tidak mendapat kebenaran untuk berkahwin lebih satu. – GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) merekodkan sebanyak 571 kes pernikahan menyalahi undang-undang syariah melibatkan penggunaan sindiket tidak bertauliah di dalam dan luar negara tahun lalu.

Kes-kes itu merupakan kesalahan di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303] yang direkodkan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Sebanyak 169 kes merupakan kesalahan dibawah Seksyen 123 (Poligami Tanpa Kebenaran) dan 402 kes dibawah Seksyen 40 (Kesalahan yang berhubung dengan akad nikah perkahwinan).

Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, kes-kes tersebut dikesan selepas individu terlibat dalam kesalahan itu hadir kepada pihaknya untuk meminta pengesahan perkahwinan mereka.

“Ini merupakan satu kesalahan berkahwin di luar kawasan tanpa izin daripada pihak kita. Pihak penguatkuasaan MAWIP akan mengkaji kes-kes tersebut.

“Kes ini jika tidak dibanteras boleh meningkat dari semasa ke semasa dan akan menimbulkan banyak isu lain di masa depan seperti nafkah isteri, penjagaan anak dan sebagainya.

“Jumlah lebih kes 500 ini membimbangkan sebab kesannya (buruk) berganda,” katanya ketika ditemui pemberita pada Konvensyen Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah 2023 di Hotel The Pearl Kuala Lumpur bertemakan “Malaysia Madani: Penguatkuasaan Diperkasa, Syariah Dilaksana” di sini semalam.

Seramai 150 peserta menghadiri konvonsyen tersebut terdiri daripada wakil agensi persekutuan dan negeri, badan berkanun serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Mohd. Daud berkata, sebahagian besar daripada 589 kes pernikahan rakyat Malaysia menggunakan sindiket tidak bertauliah itu dilakukan di Thailand dan Indonesia.

Jelas beliau, antara faktor mendorong kepada perkara itu seperti individu tidak mendapat kelulusan untuk berkahwin lebih satu atau terdapat halangan oleh pihak keluarga.

“Pada pandangan kami sindiket ini mungkin juga boleh membawa kepada perkahwinan luar nikah sebab tiada tauliah daripada pihak berkuasa agama.

“Masyarakat perlu disedarkan bahawa nikah, kahwin bukan mudah. Ia merupakan satu ikatan suci yang perlu dijalankan mengikut kaedah agama dan undang-undang semasa.

“Nampk mudah, tetapi apabila berlaku ‘ribut taufan’ barulah keluar masalah sebenar. Nak kahwin (guna sindiket) mudah sahaja, tetapi untuk melalui selepas itu yang akan mendatangkan satu musibah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan peruntukan undang-undang iaitu denda RM,1000 atau enam bulan penjara untuk kesalahan tersebut mungkin dianggap sebagai ringan oleh pelaku.

Berdasarkan peruntukan undang-undang, pasangan yang gagal mendaftarkan perkahwinan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303).

Seksyen 40 Akta 303 memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya terhadap pasangan yang melakukan kesalahan itu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI