Saban hari, sering kita dengar ramai dalam kalangan masyarakat termasuk ahli keluarga, kawan-kawan atau jiran tetangga yang terpaksa hidup menderita gara-gara terjerat dengan pinjaman along yang mengenakan kadar bunga yang melampau.
Apabila bayaran hutang mulai tersangkut, jumlah hutang yang duhulunya tidaklah sebanyak mana, akhirnya membiak dengan pantas sehingga menjadi sukar untuk untuk dilangsaikan.
Sudahlah si mangsa menghadapi masalah untuk menjelaskan jumlah hutang yang sebenar, ditambah pula dengan bunga yang berkali-kali ganda membuatkan ramai peminjam terduduk.
Walaupun sesetengah peminjam sudah mempunyai wang yang cukup untuk membayar jumlah hutang sebenar yang mereka pinjam, namun disebabkan kadar bunga keterlaluan akibat kelewatan membuat bayaran balik, ramai yang menderita.
Akhirnya, kehidupan ramai dalam kalangan peminjam menjadi tidak keruan, hidup kucar-kacir, sentiasa dalam ketakutan, keluarga berantakan, malah ada yang membuat keputusan untuk mengambil nyawa sendiri.
Selalunya mangsa yang mempunyai hutang tertunggak berdepan dengan pelbagai kacau ganggu daripada konco-konco along, rumah disimbah cat, ahli keluarga diugut dan diancam dengan pelbagai macam cara oleh along bagi memastikan peminjam melunaskan hutang.
Persoalannya, mengapa pihak berkuasa bagaikan merestui kegiatan ‘lintah darat’ ini terus bermaharajalela dan mereka terus bebas menjalankan perniagaan meminjamkan wang tanpa sebarang kawalan dan seliaan yang sepatutnya seperti bank-bank komersial.
Dengan apa yang berlaku, rasanya sudah sampai masanya untuk pihak berkuasa menilai semula mengenai aktiviti perniagaan along ini supaya proses melesenkannya, prosedurnya atau tata kelolanya mesti melalui satu kawalan yang dipantau dengan lebih baik oleh pihak berkuasa seperti mana yang dipraktikkan terhadap bank-bank komersial yang beroperasi di negara ini.
Kerana tiada kawalan inilah, golongan along ini boleh bertindak sesuka hati termasuk mengenakan bunga yang menggila, bertindak agresif terhadap peminjam, malah kini dikatakan ada segelintir along yang berani memasukkan wang ke dalam akaun mangsa walaupun masih belum bersetuju untuk melakukan pinjaman.
Jika tiada satu langkah tegas diambil oleh pihak berkuasa, masalah ini akan berterusan dan tiada kesudahannya dalam masyarakat kita.
Untuk menghalang orang ramai daripada membuat pinjaman dengan along mungkin terlalu sukar kerana orang yang terdesak akan menyambar apa sahaja peluang yang ada tanpa mampu lagi untuk berfikir panjang.
Jadi kerajaanlah yang perlu melihat perkara ini secara serius dan fikirlah satu kaedah yang lebih baik supaya along-along ini tidak lagi boleh bermaharajalela menekan peminjam-peminjam mereka sesuka hati tanpa mengikut lunas undang-undang negara.














