fbpx

Mencari identiti, gaya peribadi dalam berfesyen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Setiap individu memiliki gaya individu tersendiri.

PASTINYA ramai yang mengalami situasi yang anda hadapi yang mana apabila anda berdiri di depan cermin, pelbagai persoalan terlintas di fikiran.

Adakah saya bergaya? Adakah saya bergaya sesuai umur? Adakah saya memaksimumkan kelebihan rupa paras yang ada? Atau mungkin juga merasakan pakaian yang dipakai kelihatan seperti dipinjam daripada orang lain?

Antara perkara lain yang kadangkala kita fikirkan juga adalah sama ada warna pakaian kita terlalu terang atau reka coraknya terlalu padat hingga menyakitkan mata, atau mungkin tebuk lehernya terlalu luas hingga memperlihat bahagian dada yang sepatutnya ditutup, atau mungkin merasakan pakaian terlalu menutup badan.

Paling kita takut adakah gaya kita lebih tua daripada usia sebenar.

Justeru, apa sebenarnya gaya dalam interpretasi keterampilan wanita kontemporari? Ikuti beberapa informasi ini.

Pilihan gaya
Gaya atau stail adalah tentang keyakinan dalaman. Walau anda berumur 50 tahun sekalipun, tetapi jika berani menggayakan skirt mini, tiada siapa yang boleh menghalangnya (tetapi bersedialah untuk melihat ramai orang menoleh serta memandang sinis kepada anda).

Kini terdapat pelbagai pilihan menarik dan bergaya di pasaran untuk semua peminat fesyen pelbagai usia. Pakailah apa yang paling selesa dan kita gemari dan jangan terlalu memikirkan hal-hal remeh yang boleh menghalang kita daripada menikmati fesyen. Pelajari untuk dapatkan gaya pakaian terbaik untuk personaliti anda. Pakaian yang sesuai dan tepat dapat serlahkan keanggunan dan keperibadian.

Fesyen muda
Bagi wanita berusia 20-an, anda beruntung kerana inilah masanya untuk berfesyen tanpa had dan sempadan (selagi ia sesuai dengan latar belakang dan budaya anda berada). Segalanya adalah tentang gaya individu yang tersendiri.

Pada waktu muda ini, anda juga bebas bereksperimentasi dengan rekaan, warna, corak, suai padan dan aksesori. Sama ada untuk siang atau malam, pilih dan gayakan rekaan gaun yang punya ciri-ciri kewanitaan, ceria dan penuh warna. Jika gaun anda sedikit terbuka di bahagian atas, pastikan labuh kain adalah lebih panjang.

Padankan jean dengan rekaan baju yang unik. Sememangnya pelbagai variasi pilihan terdapat di pasaran. Antara yang menarik ialah rekaan banyak ropol atau anda boleh berikan tumpuan pada garis leher.

Apapun rekaan yang anda pilih, pastikan ia menarik dan menyerlahkan gaya anda. Apabila memilih skirt pula, fikirkan rekaan yang manis dan tidak keterlaluan. Wanita memang menawan apabila menggayakan trend rekaan skirt dengan teknik lipatan, ropol, potongan garis-A, kembang dan lurus.

Eksperimentasi
Bereksperimentasilah dengan jaket dan kot. Padankan blazer dengan gaun kembang, jaket kulit potongan bomber dengan blaus floral atau kot potongan princess dipadankan dengan jean skinny dan tank.

Untuk ke pejabat pula adalah tidak salah jika anda gemar memakai pakaian rekaan sama (contohnya baju kurung atau kebaya, jaket dan skirt) dalam rona warna yang senada. Apapun, pastikan anda memakai rekaan tersebut dalam variasi tekstur serta reka corak berlainan dalam jangka masa seminggu bekerja. Sememangnya individu yang berpengaruh miliki gaya signatur.

Pengaruh artis
Paling penting jangan cuba untuk berpakaian seperti selebriti atau bintang filem, kerana sedarilah bahawa sebahagian besar kita bukanlah pelakon. Jangan fikir apa yang hebat digayakan oleh Jennifer Lopez atau Erra Fazira akan kelihatan hebat juga apabila digayakan oleh anda (kerana ia mungkin akan sebaliknya).

Sememangnya anda boleh bereksperimen dengan trend, tetapi jangan hanya kerana mahu meniru gaya selebriti tertentu. Cuba cari identiti sendiri.

Peribadi
Untuk bergaya stylish, apabila anda gayakan sesuatu pakaian berserta padanannya sekali, pastikan anda melihat ia secara keseluruhan. Jaket, gaun, skirt, seluar dan kasut anda mungkin berkualiti dan daripada jenama hebat, tetapi paling penting adakah ia sesuai dipadankan satu sama lain? Setiap orang boleh bergaya hebat, tetapi perlu diingat, yang paling penting adalah untuk kita bergaya bagi diri sendiri bukannya orang lain.

Gaya adalah sesuatu yang peribadi. Tiada siapa yang sepatutnya memberitahu anda bagaimana untuk berpakaian. Jika anda rasa cukup yakin untuk menggayakan sesuatu rekaan, teruskan niat anda dan bereksperimenlah dengan fesyen.

Perubahan
Sememangnya setiap kita miliki gaya individu tersendiri. Namun, kadangkala kita perlu buat sedikit perubahan pada gaya kita untuk kelihatan lebih menarik. Itulah yang hebatnya tentang fesyen – terdapat terlalu banyak pilihan, selagi kita bijak memilih.

Gaya menawan sebenarnya adalah apabila hanya memperlihatkan paling minimal bahagian tubuh kita seperti bahu dan kaki, sementara bahagian lain ditutup untuk hasil yang terbaik. Konsep less is more ini membangkitkan ciri-ciri aura misteri si pemakainya.

Sikap ingin tahu
Cuba bersikap ingin tahu, jika anda punyai teman rapat yang miliki gaya hebat dan dikagumi. Jangan malu untuk bertanya dan mendapatkan panduan berpakaian serta gaya daripada mereka. Yang pasti jawapan mereka nanti akan meluaskan perspektif anda terhadap fesyen. Cuma, jangan terlalu ghairah mencuba.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI