fbpx

Nahas Elmina: Kalau ada foul-play, kita siasat – Polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan sekitar lokasi nahas pesawat di Persiaran Elmina, Shah Alam.

KLANG – Siasatan terperinci akan dilakukan sekiranya wujud sebarang dakwaan unsur jenayah berhubung
nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) di Persiaran Elmina, Shah Alam dekat sini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, bagaimanapun setakat ini pihaknya belum menerima laporan berkaitannya.

Katanya, polis telah menyelesaikan siasatan dan Bahagian Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) sedang memproses dalam menentukan punca kejadian ketika ini.

“Siasatan polis selesai, kita sudah pun rekod saksi-saksi awam semua, yang mana mungkin sebahagian daripada siasatan ini boleh digunakan oleh BSKU.

“Kita cuma menyiasat kematian, berapa ramai yang terlibat, pengenalpastian mayat, setakat itulah. Kalau ada foul-play (unsur jenayah) itu polis akan siasat tetapi setakat ini tak nampak foul-play.

“BSKU akan maklum, kalau nampak anything (mencurigakan) mereka akan maklum, kemudian polis akan ambil alih (siasatan), kita sekarang tunggu makluman daripada BSKU,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau menegaskan, urusan memanggil wakil syarikat berkaitan dengan pesawat jenis itu akan dilakukan oleh BSKU yang kini mendapatkan perkhidmatan pakar dari luar negara untuk menyiasat tragedi nahas di tempat kejadian.

“BSKU bertanggungjawab kepada MOT (Kementerian Pengangkutan). Sebarang laporan itu mereka kena hantar (kepada kementerian berkenaan),” katanya.

Dalam pada itu, Hussein menjelaskan tiada saksi tambahan setakat ini dengan piyak & masoh menunggu mana-mana pihak sekiranya memiliki apa-apa bahan yang boleh membantu siasatan.

“Ini termasuk gambar, video dan sebagainya berkaitan tragedi tersebut yang boleh membantu siasatan, kita tunggu,” katanya.

Terdahulu, pasukan Amerika Syarikat (AS), Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara (NTSB), BSKU dan pengeluar pesawat, Beechcraft melakukan siasatan di lokasi nahas pesawat itu.

Difahamkan, kira-kira 15 anggota daripada tiga agensi itu tiba di lokasi kejadian pukul 8.15 pagi tadi bagi tujuan siasatan dan pemeriksan serpihan milik pesawat terbabit yang diambil untuk dibawa ke makmal bagi menyiasatnya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.48 pada Khamis lalu, seramai 10 terkorban termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun selepas pesawat terhempas di Persiaran Elmina. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI