PETALING JAYA – Tidak dapat dibayangkan jika seorang usahawan yang baru berjinak-jinak membangunkan perniagaan sendiri dan begitu gigih mengumpul modal beratus ribu ringgit terpaksa berdepan dengan cabaran ditipu oleh salah sebuah syarikat kilang pengeluaran produk.
Pastinya ia satu dugaan besar yang dihadapi tetapi itulah realiti kehidupan usahawan, Fazlinda Abdul Razak, 38 yang kini Pengasas syarikat Fabulous Radiant Concept.
Beliau mengalami kerugian setengah juta ringgit pada tahun 2019 kerana wujudnya masalah teknikal berkaitan formulasi sehingga produk tersebut tidak dapat dijual di pasaran.
Duit modal tersebut adalah hasil simpanan beliau sebelum ini yang telah berjaya dikumpul selama terbabit dalam perniagaan menjual pelbagai produk penjagaan kesihatan dan kecantikan milik syarikat lain selama hampir 10 tahun.

Fazlinda seorang yang berpengalaman dalam pengedaran produk dengan mencatat komisen jualan yang tinggi setiap tahun mendapat sokongan daripada ramai pengedar di bawah kumpulan dan tunjuk ajarnya.
Mungkin mahu mengubah taraf hidup dan berniat untuk membangunkan perniagaan sendiri dengan mengeluarkan produk sulung, hajatnya itu tidak tidak kesampaian gara-gara wujudnya unsur penipuan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di kilang berkenaan sehingga menyebabkan beliau ‘terduduk’ mengenang nasib diri.
Bangkit semula daripada kongkongan muflis ekoran kegagalan tersebut, beliau menggunakan sokongan daripada diri sendiri, keluarga dan rakan terdekat bagi memperoleh semangat baharu untuk kembali menapak.
Tetapi kini beliau bertongkatkan ilmu pengetahuan demi mempelajari bidang perniagaan daripada mereka yang berpengalaman.
“Tipulah sekiranya saya tidak berdepan dengan masalah murung, kecewa, marah dan sedih atas peristiwa yang berlaku tetapi saya terus bercakap kepada diri sendiri bahawa, tiada sesiapa lagi yang boleh tolong diri sendiri, selain diri sendiri yang perlu bangun untuk melawan ‘sakit’ tersebut.
“Tiga bulan saya mencari kekuatan diri untuk memulihkan semangat diri sendiri,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Fazlinda menjelaskan, bermula daripada peringkat bawah dan menjadi salah seorang peserta Amanah Ikhtiar Malaysia dengan pinjaman modal sebanyak RM3,000, beliau memulakan langkah berniaga pada peringkat asas.
Pada tahun 2020 lahirlah produk sulung keluaran syarikat iaitu Fabela Skincare (Fabela).
Melalui sokongan pengedar yang di bawah kumpulannya sebelum ini iaitu seramai 50 orang, syarikat memperkenalkan set percubaan produk penjagaan kecantikan Fabela yang terdiri daripada produk pencuci muka, essence dan juga krim.
Kini produknya telah bertambah kepada 13 jenis yang dijual pada harga antara RM59 sehingga RM113 seunit yang dijual oleh kira-kira lebih daripada 800 pengedar di seluruh negara.
Antara produk keluarannya adalah kit percubaan pencerahan, kit percubaan penyelesaian pigmentasi, rawatan essence, brightening spot dan scar ampoule, advance repair serum dan multi active moisturizer serta tinted sunscreen.
Fazlinda menjelaskan, setiap produk syarikat pastinya melalui kajian dan pembangunan yang teliti serta dihasilkan daripada pelbagai bahan semula jadi premium selain berkualiti bagi memastikan ia selamat untuk kulit tanpa meninggalkan kesan risiko untuk jangka panjang.
Tambah beliau, sebagai usaha meluaskan rangkaian pengedarannya, Fabela mahu menambah bilangan master leader di beberapa negeri di seluruh negara kerana terdapat ruang yang besar bagi pengedar berusaha gigih untuk mencapai ke tahap tertinggi itu.
“Kami mahu membangunkan dua master leader dalam satu negeri dan buat masa ini hanya terdapat di Melaka, Johor, Perak dan Terengganu, maka kami berharap mahu menambah banyak lagi bilangan master leader di negeri-negeri lain.
“Seterusnya kami mahu melahirkan seorang jutawan dalam masa terdekat ini yang mana ini susulan daripada kejayaan kami melahirkan seorang jutawan semasa pandemik lalu,” ujarnya sambil menambah modal awal Fabela bagi usahawan adalah serendah RM250 sahaja.- KOSMO!ONLINE














