fbpx

Buruh lega dilepaskan, bebas tuduhan edar syabu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Mohd. Azrul (dua dari kiri) dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1.38 kilogram di Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini.- Foto ROSALWANI CHE SOH/KOSMO!

KOTA BHARU – Seorang buruh menarik nafas lega selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskannya atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1.38 kilogram (kg), dua tahun lalu.

Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd. Abba membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap tertuduh, Wan Mohd. Azrul Che Hussain, 34, di akhir kes pendakwaan.

“Setelah meneliti keterangan yang dikemukakan pihak pendakwaan, mahkamah mendapati pihak terbabit gagal membuktikan beg berisi dadah berada di bawah milikan tertuduh.

“Pihak pendakwa raya juga gagal membuktikan tertuduh mempunyai akses di apartmen Jalan Sri Cemerlang, Kota Bharu. Ketika itu, tertuduh berada di rumah keluarganya di Bachok. Berdasarkan fakta itu, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh tanpa perlu membela diri,” kata Hakim itu.

Wan Mohd. Azrul didakwa mengedar methamphetamine seberat 1,388.28 gram di sebuah apartmen di Jalan Sri Cemerlang pada pukul 1.10 tengah hari, 5 Mei 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yng membawa hukuman penjara seumur hidup jika tidak dikenakan hukuman mati dan tidak kurang 15 sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd. Arshad manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Geethan Ram Vincent dan Revin Kumar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI