Di sebalik kesibukan Bukit Bintang di tengah bandar raya Kuala Lumpur, ada seorang insan yang sedang menempa nama dengan mempertaruhkan bakat seni lukis di kaki lima jalanan.
Berbekalkan kerusi lipat, kertas lukisan dan pensel warna, dia kelihatan tidak kekok sama sekali untuk mempersembahkan sentuhan magisnya dalam melukis potret.
Sesekali ada yang berhenti untuk mengamati karyanya, ada juga yang terpegun dari jauh. Tiada siapa menyangka pemuda yang sedang sibuk mengoles lukisan potret itu masih berusia belasan tahun.
Mengimbau kembali perjalanannya dalam mencipta identiti tersendiri sebagai pelukis jalanan, pemilik nama Putra Aqmal Danish Mohd. Zuraimi, 19, akur ia tidak semudah yang disangka.
Bakat seninya mula dicungkil seawal usia lima tahun oleh bapanya, Mohd. Zuraimi Darus, 50, dan hanya bermula dengan melukis watak-watak kartun animasi yang ditonton di televisyen sebagai satu hobi.
“Ayah saya sangat tegas dan berdisiplin, dia akan larang saya melukis di dinding tetapi dia akan minta saya melukis pada kertas. Dari situ saya ada minat tapi sekadar biasa sahaja sebab saya masih kecil,” katanya kepada Panorama.
Beralih ke bangku sekolah, Putra akui mata pelajaran Pendidikan Seni menjadi subjek kegemarannya. Malah, di usia 12 tahun, Putra mulai belajar membuat ‘duit saku’ daripada penjualan karya seninya.
“Pada awalnya, kawan-kawan yang minta saya buat seni grafiti dengan melukis nama mereka. Ia boleh mencecah hingga RM20 untuk satu nama pada waktu itu,” tambah Putra.
Namun begitu, seperti ibu bapa yang lain, Mohd. Zuraimi juga mempunyai hasrat tersendiri untuk melihat anak sulung daripada tiga beradik itu melakar kejayaan dalam bidang tersendiri.
“Bapa sayalah yang galakkan saya untuk cari kelainan dan keunikan yang saya boleh tonjolkan dalam bidang seni. Melukis ni semua orang boleh buat, bapa saya tak nak sekadar itu.
“Dia kata saya kena jadi ‘superhero’, kena jadi lain daripada orang lain. Jadi, bapa minta saya cuba buat potret. Sebelum ini saya ada juga buat potret tapi bukan secara serius,” ujarnya.
Pun begitu, Putra hanya menyahut seruan bapanya untuk menjadi pelukis potret jalanan di kaki lima sekitar tahun 2018 ketika usianya baru mencecah 14 tahun.
Jalan Bulan, Bukit Bintang menjadi saksi turun naik perjalanan dalam membentuk dirinya hari ini.
Mengakui agak kekok pada awalnya untuk melukis di khalayak ramai, namun dia langsung tidak mengenal erti berputus asa.

“Awal-awal dulu malulah juga, nak lukis pun tak boleh sebab tangan terketar-ketar. Nak kena pandang muka orang, tambah pula, ramai lalu lalang dan memerhati saya yang sedang melukis.
“Di situ, bukan ada saya seorang sahaja tapi ada dua tiga orang pelukis potret otai yang turut bertapak, namun tidak wujud persaingan dalam mendapatkan tempahan potret antara kami,” kata Putra.
Imbaunya, kemahiran melukis potret ditambah baik secara tidak langsung melalui pemerhatian pada potret yang dihasilkan ‘otai-otai’ lain.
“Selain melukis setiap hari, saya juga sentiasa perhatikan teknik atau cara yang mereka guna. Mereka tidak akan berkongsi secara terus, kita kena pandai-pandai ambil ilmu.
“Pada peringkat awal, kawan-kawan antara yang menyokong. Mereka sanggup datang ke sini untuk tempah lukisan potret. Dari situ, saya cuba kongsi hasil seni saya ke media sosial dan mendapat sambutan,” ujar Putra.
Setelah lebih lima tahun menceburi bidang seni lukis potret di jalanan, kini pendapatannya mampu mencecah RM5,000 ke RM6,000 sebulan dengan menawarkan caj RM100 bagi satu wajah yang dilakar atas kertas bersaiz A3.
Baru-baru ini, Putra menjadi buruan media selepas berjaya menghadiahkan lukisan potret Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah sempena hari keputeraan baginda.
Seperti impian jadi kenyataan, penat lelah yang dikerah selama tiga bulan dalam menyiapkan potret Sultan Brunei membuahkan hasil selepas ia berjaya dipersembahkan kepada baginda.
Idea penghasilan potret tersebut dicetuskan oleh salah seorang pelanggannya yang berasal dari negara jiran itu.
“Dia cakap, cuba lukis potret Sultan Brunei, mana tahu dapat sampaikan kepada istana. Pada awalnya saya takut juga, tetapi saya cuba untuk hasilkan potret baginda.
“Tak sangka pula potret tersebut dapat dipersembahkan kepada Tuanku. Saya lukis dua potret baginda. Saya hadiahkan potret baginda dalam persalinan rasmi tentera dan satu lagi untuk koleksi peribadi saya,” tambahnya.
Berkongsi dengan penulis, Putra sedikit kecewa kerana tidak dapat mempersembahkan sendiri hasil karyanya, namun dia bersyukur ada insan yang baik hati menawarkan pertolongan untuk menerbangkan karya itu ke Istana Nurul Iman.
Difahamkan, kedua-dua potret Sultan Brunei itu dihasilkan di kaki lima Bukit Bintang sambil disaksikan pengunjung yang lalu lalang.
Mengulas lanjut mengenai perancangan masa depan, Putra tidak memasang niat untuk berpindah ke studio untuk tampak lebih profesional, sebaliknya akan terus berkarya di kaki lima.
Bagi pemuda berasal dari Rawang, Selangor itu, kaki lima sudah sebati dengan dirinya selain mempunyai penceritaan yang tersendiri.
“Di sini (kaki lima), saya belajar erti kehidupan dari berbagai jenis manusia. Ada yang susah, gila, waras, dan macam-macam lagi karakter yang membuka mata saya mengenai masyarakat berbilang latar belakang.
“Tidak mengapa jika saya dilihat seperti orang miskin, sekadar duduk mencari rezeki di kaki lima tetapi di sini banyak mesej yang terselit. Di sini saya nampak ‘dunia’,” tambahnya.
Tidak terlepas daripada kritikan lebih-lebih lagi apabila membuat keputusan untuk tidak menyambung pelajaran, Putra tetap tenang menangkis tanggapan negatif.
“Dalam apa jua bidang yang kita ceburi, jika tidak ada orang yang melatih dan menjadi tulang belakang, semuanya tidak akan berhasil. Saya bersyukur mempunyai bapa yang sentiasa menyokong apa jua saya lakukan,” ulasnya.
Bapanya, Mohd. Zuraimi berkata, dia akan sentiasa menjadi penyokong tegar anaknya dalam perjalanan menjadi pelukis jalanan ini.
“Dari tahun 2014 saya sentiasa bersamanya, menjual hasil kraf tangan sambil dia melukis potret. Saya juga pengkritik nombor satu Putra dalam menghasilkan karya yang berkualiti,” tambahnya.
Putra dan bapanya dijangka terbang ke Austria dan Australia untuk membuat persembahan lukisan jalanan, namun ia masih di peringkat persediaan bagi mendapatkan permit sah.
















