fbpx

K2

Pacu buruan pemancing baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ikan pacu merupakan jenis ikan yang mudah untuk diburu.

SEJAK berusia 7 tahun, hobi memancing lelaki itu sudah mula berputik.

Hampir setiap hari, memancing sudah menjadi kemestian buat dirinya tidak kira pada hari sekolah mahupun cuti.

Minat yang mendalam terhadap aktiviti itu juga membuat lelaki asal Hulu Langat, Selangor, Edi Irwanshah Nasrudin, 40, tekad untuk membeli joran sendiri pada usianya 15 tahun.

“Dulu duit belanja tidaklah banyak, dalam 50 sen, jadi sikit-sikit saya kumpul hingga akhirnya tercapai hasrat untuk ada joran sendiri,” katanya ketika ditemui di Kolam Ikan Abang King 2 di Sungai Mampir, Hulu Langat, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya yang juga mesra disapa Abang King, oleh kerana memancing sudah sebati dengan jiwanya, pada 2014 dia kemudian memutuskan untuk membuka kolam ikan air tawar komersial,

Kolam Ikan Abang King 1, di Kampung Sungai Tekali, Hulu Langat.

Meskipun tanpa pengalaman dalam pengurusan kolam memancing, Edi Irwanshah menimba ilmu daripada orang lebih arif, selain pengetahuan memancing yang dia ada.

“Setiap pemancing punya impian untuk memiliki kolam ikan sendiri, begitu juga saya.

“Saya belajar daripada orang sekeliling, juga secara try and error, malah semasa buka kolam ikan juga kami cuba manfaatkan modal yang kecil, namun syukur semua berjalan lancar.

Panorama permai di sekitar Kolam Ikan Abang King 2 yang terletak di Sungai Mampir, Hulu Langat, Selangor.

“Hinggalah pada tahun 2019 saya membuka kolam kedua yang mempunyai kawasan yang lebih luas serta selesa untuk para pemancing datang melepaskan gian,” ujarnya.

Jelasnya lagi, Kolam Ikan Abang King 2 juga merupakan kolam ikan air tawar yang menempatkan pelbagai jenis ikan seperti pacu, patin dan keli.

Kolam mempunyai panjang 100 meter (m) dan lebar 40m itu mengandungi ikan-ikan seberat dua kilogram (kg), namun terdapat juga beberapa ikan yang beratnya kira-kira 10 kg.

Dengan kedalaman antara 1.5 hingga 1.8 meter, kolam ini menjadi tumpuan kaki pancing termasuk mereka yang mahu berjinak-jinak untuk memancing.

Kongsi Edi Irwanshah lagi, ini kerana bagi mereka yang baru mula memancing, rata-rata suka memburu ikan pacu kerana lebih mudah ditawan.

“Bagi yang mula memancing, ikan pacu adalah buruan yang paling mudah, malah ikan ini juga senang tertarik dengan umpan.

“Bagaimanapun, memancing ini bergantung pada rezeki, kalau di kolam ikan ini, ada juga istilah memancing bukan sekadar memburu banyak ikan tetapi juga perlumbaan untuk buktikan umpan siapa yang paling ‘mujarab’ dalam memikat ikan,” selorohnya.

Tambahnya lagi, bagi memancing di kolam, umpan merupakan elemen penting di samping peralatan betul dan teknik memancing.

Jelasnya lagi, umpan yang paling mudah menarik ikan adalah campuran dedak dibuat menggunakan resipi yang bertepatan dengan selera ikan.

Selain itu, ada juga yang gunakan umpan seperti roti, hati atau pedal ayam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI