fbpx

Nahas Elmina: Bedah siasat 10 mangsa selesai, fokus padanan DNA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hussein bersama pihak HTAR pada sidang akhbar pagi ini. FOTO AFIQ RAZALI

KLANG – Proses bedah siasat 10 mangsa nahas pesawat persendirian ringan di Persiaran Elmina selesai dan kini memfokuskan kepada padanan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, urusan bedah siasat yang dijalankan oleh 30 pegawai patologi dan forensik selesai sepenuhnya di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) malam tadi.

Jelas beliau, sebanyak 300 sampel cebisan mayat dihantar ke Jabatan Kimia, Petaling Jaya bagi tujuan padanan DNA yang 30 peratus sudah diselesaikan setakat ini.

“Kita sudah mendapat satu padanan DNA yang disahkan sebagai penunggang p-hailing, Muhamad Hafiz Muhamad Saleh, 32, dan jenazah diserahkan kepada warisnya hari ini.

“Jabatan Kimia kini berusaha melengkapkan semua padanan DNA semua mangsa dan kita positif urusan akan selesai Isnin ini,” katanya pada sidang akhbar di luar pekarangan Jabatan Forensik HTAR pagi ini.

Hussein memberitahu, selain padanan DNA, urusan pengecaman jenazah dibuat menggunakan rekod pergigian dan cap jari.

“Setakat ini polis berjaya mengenalpasti lapan cap jari mangsa. Kita menjangkakan satu lagi jenazah dapat dikenalpasti hari ini dan boleh diserahkan esok,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan waris mangsa dapat menerima seadanya keadaan jenazah yang diserahkan kelak kerana terdapat cebisan mayat telah terbakar dan tidak dapat diproses untuk mencari padanan DNA.

“Waris juga perlu bersabar kerana proses itu adalah rumit dan sensitif dan kita mahu semua cebisan mayat diserahkan kepada pemilik sebenarnya,” katanya.-KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI