fbpx

Lelaki ditahan menyamar polis sebelum ugut penuntut gay

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

AMPANG – Seorang lelaki ditahan selepas disyaki menyamar sebagai anggota polis dan memeras ugut seorang penuntut universiti awam dipercayai gay dengan ugutan ingin memberitahu kepada ibu mangsa berkenaan dorongan seksualnya.

Bagaimanapun, tindakan lelaki tempatan yang turut memeras ugut wang RM3,000 daripada mangsa mengundang padah apabila ditahan di sebuah kawasan letak kenderaan di Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima aduan tersebut daripada seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun yang juga merupakan seorang penuntut di sebuah universiti swasta, 10 Ogos lalu.

Katanya, suspek yang dikenali mangsa melalui media sosial telah mengambilnya menaiki Toyota Corolla Altis pada pukul 4.24 petang di Jalan Putra 4, di sini.

“Ketika itu, suspek mendakwa dirinya seorang ‘pegawai polis’ dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi lalu mengugut mengatakan mangsa seorang gay.

“Suspek juga mendakwa akan memberitahu ibu mangsa tentang perkara tersebut selain turut meminta wang sebanyak RM3000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Azam, akibat ketakutan, mangsa telah menghubungi rakannya untuk memindahkan wang sebelum dibawa suspek ke BSN Ampang Point untuk keluarkan wang berkenaan.

“Mangsa telah berikan wang tunai sebanyak RM1,500 kepada suspek manakala baki RM1,500 diminta untuk dipindahkan melalui transaksi dalam talian ke sebuah akaun Maybank,” katanya.

Bertindak atas maklumat, Mohd Azam memaklumkan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun.

Katanya, suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu ditahan sekitar pukul 6.40 petang di kawasan letak kenderaan di Petaling Jaya, semalam.

“Semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau kesalahan dadah dan ujian air kencing adalah negatif dadah.

“Siasatan mendapati tujuan suspek berjumpa mangsa adalah untuk lakukan seks luar tabii.

“Selain itu, suspek juga mengugut mahu menangkap semua pengamal LGBT di Malaysia sehingga menyebabkan mangsa ketakutan,” katanya.

Tambah Mohd Azam, suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Ahad ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun keseksaan merujuk kepada mendatangkan ketakutan bencana dengan tujuan hendak melakukan pemerasan,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI