fbpx

UMPSA sebar penjenamaan baharu, santuni komuniti Semporna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UMPSA merupakan penjenamaan baharu bagi Universiti Malaysia Pahang (UMP) bermula sejak Julai lalu.

SERAMAI 37 sukarelawan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengambil inisiatif menyantuni komuniti penduduk di Pulau Bum-Bum, Semporna, Sabah baru-baru ini.

Menurut Naib Canselor UMPSA, Prof. Datuk Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, program dikenali sebagai kembara prihatin itu bukan saja bertujuan memberi bantuan, tetapi turut membina hubungan erat dengan ahli komuniti dan sukarelawan yang terlibat.

“Kegigihan dan semangat gotong-royong sukarelawan membawa kita lebih dekat dengan hati masyarakat Sabah khususnya di Semporna ini.

“Ia secara tidak langsung membantu mereka mencapai kehidupan yang lebih baik dari segenap aspek seperti peningkatan pendidikan, kebersihan dan kesihatan serta pembangunan komuniti yang lestari,” katanya.

Tambahnya, penganjuran program tersebut juga berjaya memberikan manfaat kepada masyarakat, seiring Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Saya berasa amat terharu melihat semangat sukarelawan dan inisiatif yang telah mereka berikan untuk menyumbang sesuatu manfaat kepada masyarakat yang memerlukan.

“Program kembara prihatin ini juga adalah satu contoh terbaik untuk lihat bagaimana kerjasama antara kerajaan, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat membawa impak positif kepada masyarakat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Yuserrie turut mengucapkan terima kasih buat keluarga angkat terlibat atas kebaikan dan kesediaan membuka pintu rumah dan menerima anak-anak UMPSA sebagai sebahagian keluarga mereka.

Rombongan UMPSA ini turut memasuki kampung-kampung untuk memberi bantuan tertentu.

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan.

Abdul Aziz dalam ucapannya berkata, di samping menyantuni, pihaknya yakin sepanjang program berjalan, banyak perkara baharu yang dipelajari dan diterokai peserta.

“Ini selari dengan hasrat dalam mendekatkan universiti kepada komuniti dan slogan ‘Teknologi untuk Masyarakat’ agar kewujudan UMPSA dirasai dan manfaat kepakaran dinikmati penduduk setempat.

“Perkongsian budaya ini akan mendidik pemikiran pelajar agar lebih terbuka, mempunyai sifat toleransi yang tinggi, berusaha untuk saling memahami serta menghormati walaupun terdapat perbezaan amalan, kepercayaan, identiti dan juga nilai kehidupan,” katanya.

Program Kembara Prihatin oleh Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) itu turut mendekati murid-murid sekolah di Semporna, Sabah.

Antara program yang dijalankan termasuklah program hala tuju pelajar selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, projek StreetScience, aktiviti pembelajaran luar bilik darjah dan program motivasi bersama Sekolah Menengah Kebangsaan Bum-Bum.

Program lain yang turut dijalankan serentak ialah gunting rambut percuma, sukaneka, pertandingan memasak dan rewang bersama Adabi.

Di penghujung program, UMPSA turut menyumbang 10 tong air untuk kegunaan komuniti di Pulau Bum-Bum dan Pulau Mabul.

Program bermula sejak 23 Julai hingga 2 Ogos lalu itu tidak setakat membantu pembangunan komuniti setempat, namun membawa penjenamaan baharu UMPSA ke seluruh Malaysia. UMPSA adalah penjenamaan baharu bagi Universiti Malaysia Pahang (UMP) sejak Julai lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI