fbpx

PRN: Gabungan PH-BN tetap capai sasaran bentuk kerajaan negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kon Yeow bersama pimpinan PH dan BN Pulau Pinang di Perhimpunan Perpaduan, Pengumuman Keputusan PRN di Hotel St Giles Wembley, hari ini. Gambar oleh IQBAL HAMDAN/KOSMO!

GEORGE TOWN – Gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang tetap berjaya mencapai sasaran kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi sehingga berjaya membentuk kerajaan negeri.

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, walaupun gabungan berkenaan hanya menang 29 daripada 30 kerusi DUN yang disasarkan untuk menang sebelum ini, pihaknya tetap berjaya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.

”Saya sudah meletakkan sasaran, kalau mengikuti ceramah saya dengan ambil kira segala perkembangan politik dalam beberapa tahun yang lepas, sasaran saya adalah 30 kerusi dan agak tercapai sasaran itu dalam PRN ini.

”Satu kerusi kurang daripada sasaran tetapi setelah ambil kira perubahan politik negara kita, termasuk dengan adanya gabungan perpaduan saya kira adalah penting kita memperoleh kerusi melebihi dua pertiga majoriti,” katanya dalam sidang akhbar di sini, malam tadi.

Terdahulu, Kon Yeow mengumumkan bahawa gabungan PH-BN berjaya membentuk kerajaan selepas menang 29 kerusi daripada 40 kerusi DUN yang ditandingi.

Yang turut hadir, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Timbalan Pengerusi PKR, Datuk Muhamad Bakhtiar Wan Chik.

Sebelum ini, pada PRU-14 PH Pulau Pinang berjaya memperoleh 37 kerusi daripada 40 kerusi DUN yang ditandingi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata, gabungan PH-BN akan menjalankan analisis keputusan PRN itu dan menyedari adanya perubahan politik yang berlaku pada PRN kali ini.

”Kita realisitik dengan sasaran kita, dan kita tahu perubahan politik yang berlaku adalah benar dan ia perlu diambil tahu oleh gabungan Kerajaan Perpaduan termasuk diperingkat Pusat.

”Kita kena ambil tahu apa yang menyebabkan pengundi tidak gembira dan kita akan analisa keputusan serta ambil tindakan yang sepatutnya,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada calon-calon muka baharu yang banyak diketengahkan oleh gabungan PH-BN menyebabkan gabungan tersebut kalah di banyak kerusi, Kon Yeow berkata, kesemua calon-calon termasuk calon baharu telah dipilih oleh parti komponen masing-masing.

”Calon-calon baharu yang dipilih DAP semua menang, jadi ia (calon baharu) tidak boleh dijadikan sebab mengapa kita hilang banyak kerusi kali ini.

”Saya lebih suka melihat kepada perubahan-perubahan politik yang berlaku dalam PRN kali ini daripada melihat apa yang kita tidak sasarkan itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI