fbpx

Tawaran PN Selangor bantu ringan beban rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tawaran PN menjaga kebajikan golongan pendidik dan ibu bapa serta membantu meringankan beban kos sara hidup masyarakat dalam ekonomi sukar kini. – Gambar hiasan

SHAH ALAM – Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai lebih RM2 bilion yang ditawarkan Perikatan Nasional (PN) kepada rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini disifatkan sebagai penawaran terbaik dalam memberi nafas baharu kepada rakyat.

Dalam konteks ini, rata-rata pengundi dilihat menyambut baik penawaran bertemakan ‘Selangor Baharu, Kita Bangkit’ itu, yang merangkumi tujuh tunjang utama selain 25 pendekatan dan 112 tawaran dalam usaha meringankan beban kehidupan rakyat.

Menerusi Tawaran tersebut, PN bukan sahaja memberi tumpuan kepada inisiatif merancakkan perkembangan ekonomi Selangor, tetapi fokus utama turut diagihkan kepada kumpulan masyarakat lain termasuk peniaga, ibu bapa serta penjawat awam.

Seorang ketua keluarga, Safwan Mukhtarah, 36, berkata, beberapa inisiatif PN seperti menawarkan bantuan tambang bas sekolah berjumlah RM100 sebulan disifatkan sebagai sesuatu usaha yang mengutamakan rakyat khususnya golongan B40.

Safwan

“Memandangkan saya hanya bekerja sebagai peniaga yang mana pendapatan bulanan tidak tetap, bantuan seperti itu sangat membantu saya kerana mempunyai anak yang bakal memasuki prasekolah tahun hadapan.

“Selain itu, tawaran lain seperti bantuan yuran pengasuhan kanak-kanak berjumlah RM150 sebulan juga merupakan antara paling dinantikan ibu bapa berikutan mampu meringankan beban kewangan ditanggung selama ini.

“Ini kerana, saya perlu membelanjakan kira-kira RM600 sebulan untuk menghantar dua anak ke pusat pengasuhan, jadi apabila ada bantuan seperti itu, kami mampu berjimat sehingga RM300 sebulan seterusnya boleh digunakan untuk keperluan lain,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Yusni

Katanya, dia juga tidak pernah menerima bantuan seperti itu sepanjang menetap di Selangor sekali gus menyifatkan inisiatif ditawarkan PN kali ini sebagai satu usaha yang memberi fokus menyeluruh demi membantu rakyat terutamanya golongan B40.

Senada dengan Safwan ialah seorang lagi kerani iaitu Sarimah Maulana, 50, yang turut menyifatkan penawaran dibuat PN di Selangor sebagai satu langkah tepat terutamanya dalam meringankan beban kewangan ditanggung ibu bapa.

“Sebagai contoh, antara inisiatif ditawarkan termasuklah Skim EduStart Selangor kepada anak Selangor yang menjadi pelajar tahun pertama di institut pengajian tinggi (IPT) dan akan menerima sebanyak RM1,500.

“Bagi ibu bapa, inisiatif seperti itu sangat membantu meringankan beban kewangan kerana kos memasuki IPT juga tinggi. Jadi, ia boleh digunakan untuk membeli keperluan lain seperti pakaian dan buku kuliah,” jelasnya.

Selain itu, Tawaran PN Selangor juga turut memberi fokus kepada penjawat awam dan peniaga di mana golongan itu bakal menikmati beberapa inisiatif seperti dua bulan elaun khas kepada anggota perkhidmatan awam negeri serta dana mengembangkan perniagaan.

Rahmat

Susulan itu, seorang pendidik, Yusni Haniff Ariffin, 47, berkata, tawaran berhubung elaun khas itu membolehkan penjawat awam negeri mempunyai lebih semangat untuk berkhidmat seterusnya menawarkan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat.

 

“Selain itu, beberapa Tawaran PN Selangor yang lain seperti menyalurkan dana bantuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bernilai RM5,000 setahun kepada semua sekolah kerajaan juga merupakan satu langkah terbaik dalam menjaga kebajikan golongan pendidik.

“Walaupun jumlah itu tidak terlalu banyak, namun nilai RM5,000 itu boleh digunakan untuk penganjuran beberapa program kepada pelajar seperti kursus pembangunan akademik,” ujarnya.

Sementara itu, seorang perunding dekorasi perkahwinan, Rahmat Razie, 28, menjelaskan, Tawaran PN kepada golongan usahawan dan peniaga disifatkan sebagai langkah tepat dalam membantu golongan itu mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Sebagai peniaga, kami sentiasa memerlukan suntikan bantuan modal untuk mengembangkan perniagaan diusahakan melibatkan beberapa aspek seperti pemasaran, penambahan pekerja dan promosi.

“Justeru, menerusi inisiatif ditawarkan PN seperti Dana Digital Niaga Selangor dan Skim Mikro Kredit hijrah, ia sememangnya dapat membantu kami terutamanya peniaga kecil dan sederhana mengembangkan perniagaan sedia ada,” jelasnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI