fbpx

Sikap isteri berubah lepas bersalin, ibu paksa anak menantu bercerai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Seorang lelaki sedang dalam dilema sama ada perlu memilih isteri atau ibunya apabila hubungan kedua-duanya mereka semakin renggang.

Menerusi satu perkongsian di kumpulan Facebook, Permasalahan Kes Di Mahkamah Syariah semalam, lelaki itu diminta ibunya untuk menceraikan si isteri sedangkan wanita tersebut masih berpantang.

“Assalamualaikum maaf nak bertanya. Harap sahabat group (kumpulan) sudi menjawab, saya dan isteri berkahwin tak sampai setahun, isteri saya memang ada ‘depression’ dan ‘anxiety’.

“Isteri saya baru lepas bersalin bulan tujuh lepas dan selepas bersalin perangai isteri berubah, banyak diam, banyak menangis dan kadang dia benci dekat anak sendiri, isteri saya jadi kurang bahagia, mungkin isteri saya meroyan bersalin,” katanya.

Tambah lelaki itu, dia turut meminta ibunya menjaga si isteri sewaktu tempoh berpantang, namun berlaku sebuah insiden sehingga ibunya nekad mahukan mereka bercerai.

“Apabila mak saya datang jaga dia (isteri) dalam pantang tujuh hari, mak saya terasa dengan sikap dia sebab dia banyak diam dan mak saya terasa sangat dengan dia sampai mak saya suruh ceraikan dia.

“Malam kejadian itu isteri saya jadi menjerit-jerit, menangis sebab stres dan saya masuk ke bilik marah dia. Dia halau saya dan mak saya dari bilik. Selepas kejadian, esoknya mak balik kampung sendiri dan suruh saya ceraikan dia.

“Mak saya juga cakap kalau saya pilih isteri saya, nak minta tolong apa-apa lepas ini dah tak boleh dan mak saya juga dia tak akan berbaik dengan isteri saya,” luah lelaki tersebut.

Bercerita lanjut, lelaki tersebut turut mendakwa perubahan sikap isterinya adalah disebabkan terkena sihir pemisah.

“Saya tak tahu apa masalah dalam hubungan ini, isteri saya ada perasaan benci tanpa sebab dekat saya. Isteri ada juga mengadu yang dia ada nampak ‘benda’ lain dalam rumah, bau mayat dalam rumah, adakah ada kaitan dengan sihir pemisah?

“Saya tak nafikan masing-masing ibu atau isteri ada kekurangan. Tapi saya jenis kalau ada apa masalah saya suka cerita dekat mak saya, sedangkan isteri tak pernah cerita buruk saya pada keluarga dia,” katanya.

Dalam pada itu, perkongsian lelaki tersebut ternyata menjadi bualan dalam kalangan pengguna Facebook lain dan rata-ratanya menganggap masalah yang berlaku berpunca daripada kegagalan si suami untuk mengurus hubungan dengan isterinya.

“Sebagai suami, kena sentiasa peka dengan isteri, jangan bebankan isteri dengan masalah, penat lagi-lagi si isteri sedang berpantang. Saya tak rasa sebab sihir, tapi ia sebab sikap suami. Selalu masalah rumah tangga cerita pada mak, dan ia menjejaskan hubungan mentua dan menantu,” tegur Puteri Balqis.

“Awak tak sedar ke mak awak la punca isteri awak meroyan. Awak lelaki dah kahwin, ada tanggungjawab pada isteri dan anak. Selagi isteri masih taat awak, awak kena dahulukan keperluan isteri awak.

“Jangan bagi keluarga masuk campur urusan rumah tangga awak, kalau tak awak akan menyesal nanti. Tak ada perempuan boleh terima mentua masuk campur hal rumah tangga anak menantu dan lebih teruk lagi cuba memecah belahkan rumah tangga mereka. Buat sementara waktu elok awak jauhkan isteri awak dari keluarga awak yang toksik,” tegur Nur Is. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI