fbpx

Sarawak belum rancang tamatkan pembalakan untuk aktiviti karbon hutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamden bercakap pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pengenalan Aktiviti Karbon Hutan di Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

KUCHING – Sarawak tidak merancang menamatkan pengeluaran lesen pembalakan untuk beralih sepenuhnya kepada aktiviti karbon hutan.

Bagaimanapun, Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad berkata aktiviti itu telah berkurangan dan berada dalam tahap mampan.

“Kalau dahulu, kami menerima hasil atau royalti (daripada pembalakan) sebanyak RM800 juta setiap tahun tetapi sekarang menurun kepada RM300 juta.

“Berdasarkan perkiraan kami, itu pada tahap mampan jadi mungkin dalam tempoh 10 tahun kami masih dapat memberikan RM300 juta kepada kerajaan negeri menerusi hasil pembalakan melainkan kita berhenti terus (menghentikan pembalakan),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pengenalan Aktiviti Karbon Hutan di Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Menjelas lanjut, Hamden berkata antara faktor yang mengekang kepada keputusan untuk menghentikan aktiviti pembalakan adalah dari segi aktiviti hiliran, peluang pekerjaan dan sebagainya.

Katanya ketika ini, masih ramai masyarakat yang bergantung pendapatan dalam industri pembalakan (termasuk kilang kayu) dan sekiranya ia dihentikan serta-merta, ia akan merugikan banyak pihak.

Justeru, beliau berharap agar industri berkenaan dapat melakukan penyelarasan dalam mengurangkan operasi dari semasa ke semasa.

“Jika saya mahu hentikan (pembalakan), saya dengan mudah boleh memberitahu mereka tetapi kami tidak boleh menghentikan dengan sewenang-wenangnya kerana kami juga perlu melihat kepada komuniti,” katanya.

Dalam pada itu, Hamden berkata faktor seterusnya adalah kerana penanaman hutan telah dilakukan, yang kini sudah mencecah lebih 500 hektar sejak penanaman dimulakan pada 1997.

“Jadi pokok yang sudah tumbuh berbelas tahun perlu ditebang dan ditanam balik. Kalau kita lihat dari segi penyimpanan karbon, pokok yang muda lebih menyerap karbon berbandung yang tua…sebab itu sesetengah negara tidak mahu taman negara menjadi penyerap karbon,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI