fbpx

PRN: Kedah catat peratusan tinggi mengundi awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Ghani bercakap kepada media selepas meninjau meninjau proses pengundian awal di IPK Selangor, hari ini. - Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

SHAH ALAM – Kedah mencatatkan peratusan tinggi mengundi awal dengan 23 peratus setakat pukul 9 pagi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, proses pengundian awal itu bermula pukul 8 pagi dengan cuaca yang baik membantu proses perjalanan pengundian awal.

Katanya, secara keseluruhan bagi enam negeri khususnya melibatkan anggota dan pegawai polis serta tentera selain pasangan masing-masing adalah antara 20 hingga 23 peratus.

“Bagi Selangor setakat sejam awal bermula 8 hingga 9 pagi adalah 17 peratus. Paling tinggi di Kedah dengan 23 peratus.

“Saya nampak prestasi keluar mengundi adalah pelbagai, namun saya rasa insya-Allah dengan sambutan meriah ini akan mencapai peratusan tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini .

Terdahulu, beliau meninjau proses perjalanan pengundian awal melibatkan anggota dan pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Abdul Ghani turut menggalakkan para pengundi menunaikan tanggungjawab mereka sehingga melebihi peratusan mengundi pada peratusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Yang lepas (PRU15) adalah 86 peratus dan kalau boleh biarlah lebih tinggi daripada itu.

“Kita berharap para pengundi dapat menjalankan tugas dengan baik dan sempurna. Laksanakan tanggungjawab ini,” katanya.

Mengulas mengenai pengumuman keputusan lengkap bagi kesemua DUN di enam negeri, beliau menjelaskan pihaknya dalam proses meningkatkan sistem sedia ada bagi memastikan keputusan diperoleh segera menerusi laman sesawangnya.

“Kita pun kalau boleh seawal yang mungkin dan berdoa diawalkan (peroleh keputusan PRN) berbanding masa lalu.

“Ini seperti pada penamaan calon dapat awalkan. Kalau yang sudah-sudah agak lewat, yang lepas (senarai calon) dapat kita laksanakan dalam pukul 1 tengah hari sudah keluar bagi enam negeri,” katanya.

Berhubung perjalanan kempen sepanjang PRN, Abdul Ghani menegaskan tiada perkara yang tidak diingini berlaku setakat ini dengan kempen dibuat calon semakin baik setiap hari. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI