KLANG – Calon Pakatan Harapan (PH), Erni Afrishah Azizi mendapat nasihat berguna daripada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) wanita pertama Selangor apabila diminta memperbetulkan niat menjadi ADUN.
Erni Afrishah yang merupakan mewakili gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa itu mendapat ‘ilmu’ berkenaan ketika menziarahi Norsiah Abdul Rahim, 77, selama 30 minit.
Menurut calon paling muda PKR itu, nasihat itu sangat berguna dalam baki empat hari kempen sebelum pengundian pada Sabtu ini.
“Beliau (Norsiah) berikan beberapa nasihat, tetapi apa yang paling penting adalah meminta saya untuk membetulkan niat mengapa mahu menjadi ADUN.
“Saya juga diminta memanfaatkan sepenuhnya kepercayaan para pengundi sekiranya dipilih dengan membantu seramai mungkin mereka yang susah,” katanya dalam program ziarah di rumah Norsiah di Jalan Kapar, di sini hari ini.
Untuk rekod, Norsiah merupakan bekas ADUN Jeram bagi tahun 1973 sehingga 1983. – KOSMO! ONLINE














