fbpx

Kadar pengangguran negara turun 2.5 peratus tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid (tengah) menyampaikan surat tawaran pekerjaan kepada peserta MyFutureJobs di Kepala Batas, hari ini. Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Kerajaan Perpaduan optimis kadar pengangguran negara turun kepada 2.5 peratus pada suku pertama tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keyakinan itu berlandaskan usaha kerajaan yang berjaya menarik lebih banyak pelaburan sekali gus menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Katanya, trend penurunan itu dapat dilihat susulan kadar pengangguran negara pada suku pertama tahun ini mencatatkan 3.5 peratus berbanding 4.1 peratus bagi tempoh sama tahun lalu.

“Apa yang dilakukan ini adalah kerana mendukung fikrah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kita (kerajaan) menoktahkan kemiskinan tegar dalam kalangan rakyat.

“Caranya adalah dengan mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak termasuk kursus keusahawanan,” katanya ketika berucap pada Karnival Kerjaya MYFutureJobs Bersama Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO (HAWA) di pekarangan Dewan Millenium, Kepala Batas di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pemain industri sewajarnya menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan khusus buat kaum wanita biarpun majoritinya didominasi kaum lelaki.

“Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), tenaga kerja wanita di alam pekerjaan ketika ini hanya 62.5 peratus. Diharapkan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan HAWA dapat memperbanyakkan peluang pekerjaan kepada golongan wanita, dimulai latihan keterampilan atau ‘skill training’ (latihan kemahiran).

“Kita sudah ada TVET (Latihan Teknikal dan Vokasional) khusus untuk wanita yang pada mulanya disasarkan untuk 15,000 wanita sahaja, tetapi saya minta jumlah itu dinaikkan kepada 150,000 wanita.

“Langkah itu bagi memastikan golongan wanita diberi banyak peluang pekerjaan yang tidak tertumpu hanya bidang domestik tetapi juga bidang berteknologi tinggi,” katanya.

Berdasarkan data portal MyFutureJobs, sejak Januari 2020 hingga 21 Julai tahun ini, seramai 884,688 rakyat tempatan memperoleh pekerjaan menerusi perkhidmatan pekerjaan dikendalikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Daripada jumlah itu, seramai 72,374 adalah pencari kerja di Pulau Pinang yang mana 32,711 orang terdiri daripada wanita. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI