fbpx

Berlapang dada, perlu terima Gerakan – Takiyuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Takiyuddin

PETALING JAYA- Kepimpinan Pas pusat menyifatkan kehadiran Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau ke ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) di Pulau Pinang kelmarin perlu diterima dan dihargai sebagai tetamu berdasarkan akhlak dan prinsip-prinsip Islam.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya juga merakamkan rasa kurang selesa sekali gus meminta maaf atas insiden melibatkan Presiden Gerakan itu.

“Gerakan juga merupakan rakan gabungan dalam PN dan beliau sendiri merupakan calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sedang berlangsung sewajarnya diberikan penghormatan yang layak dan munasabah.

“Pas seperti mana parti lain juga amat sedar dan maklum bahawa politik gabungan cenderung untuk menimbulkan rasa tidak puas hati, kecewa dan sebagainya, terutamanya dalam isu-isu berkaitan pembahagian kerusi atau pemilihan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen.

“Dalam konteks pemilihan Dominic sebagai calon PN bagi kerusi DUN Bayan Lepas yang merupakan sebuah kerusi majoriti Melayu, Pas amat sedar berhubung sentimen dalam kalangan ahli dan penyokong di peringkat tempatan susulan pencalonan beliau,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Pas juga percaya, apabila keputusan dibuat dengan persetujuan kepimpinan tertinggi parti maka ahli dan penyokong perlu menerimanya selain meletakkan kepercayaan kepada kepimpinan diketuai Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri.

“Saya menyeru ahli-ahli Pas berkaitan supaya menyedari bahawa bantahan berterusan dan tindak-tanduk berlawanan dengan kepentingan parti bukan sahaja menimbulkan suasana tidak harmoni malah turut mencabar dan mempersoalkan kebijaksanaan serta ketepatan keputusan Presiden Pas sendiri.

“Dalam suasana politik semasa yang dicemari naratif cauvinis dan melampau, maka sebagai parti Islam, tertua dan besar, kita bertanggungjawab bukan sahaja menunjuk arah kepada politik matang malah turut bertanggungjawab memberi pertolongan dan perlindungan kepada pihak memerlukan.

“Berdasarkan latar belakang itu, Pas melihat Dominic dan parti pimpinannya tergolong dalam kelompok yang memerlukan pertolongan serta perlindungan itu,” katanya.

Justeru katanya, dia menyeru ahli-ahli Pas dengan berlapang dada sewajarnya menjadi pihak yang menghulur segala bantuan yang sehabis mampu atas semangat setiakawan dan persaudaraan yang tulus.

Tambahnya, Pas juga berharap dan menggesa semua ahli dan penyokong parti dan PN supaya memberi tumpuan kepada PRN sekali gus mengetepikan perkara-perkara kecil yang boleh melemahkan usaha bersama. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI