fbpx

Berucap dalam masjid: Minta maaf atau saman – Fahmi Fadzil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi.

SHAH ALAM – “Minta maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam atau berdepan saman.”

Demikian tegas Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil terhadap dua individu yang memfitnahnya berhubung dakwaan menyampaikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Ahad lalu.

Kata Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan itu, kedua-dua individu tersebut juga perlu menarik balik tuduhan tersebut dalam tempoh sama.

“Masa itu ada orang tangkap gambar dan tulis saya ceramah tanpa tauliah, berpolitik dan kempen di dalam masjid sedangkan ia bukan begitu.

“Alhamdulillah, petang tadi Ketua Polis Selangor mengumumkan setelah 22 saksi disiasat, beliau kata saya, Fahmi Fadzil, tidak bersalah,” katanya ketika berucap pada Jelajah Perpaduan sempena PRN Selangor di Sungai Kandis, dekat sini, malam tadi.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan polis Selangor mengesahkan tiada unsur kempen politik berhubung ucapan beliau dalam ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang, di sini, Ahad lalu.

Jelas Fahmi, notis tuntutan telah dihantar oleh peguamnya kepada penceramah bebas Ahmad Dusuki Abdul Rani dan pentadbir Laman Facebook ‘N13 Kuang’, petang semalam.

Ujarnya, notis itu bagi membersihkan namanya daripada tuduhan mengadakan ceramah di masjid sedangkan beliau hanya menjelaskan tindakan mengharamkan kumpulan muzik The 1975 seperti diminta oleh ahli jawatankuasa masjid ketika singgah solat di situ.

“Ini bagi menunjukkan bahawa perbuatan memfitnah tidak boleh sama sekali dikompromi terutama dalam kehangatan kempen Pilihan Raya Negeri yang sedang berlangsung,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di laman sosial termasuk Facebook bagi kedua-dua individu setakat pagi ini mendapati tiada sebarang permohonan maaf dibuat berhubung perkara itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI