fbpx

Facebook digodam bukan gimik konsert jelajah – Ella

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ella menyifatkan konsert tersebut sebagai hadiah istimewa buat peminat yang menyokongnya dari dulu hingga ke hari ini. - Foto AMIR KHALID

PETALING JAYA – Ratu Rock negara, Ella menangkis dakwaan konon-kononnya kisah penularan laman Facebooknya digodam sebagai gimik siri konsert jelajah Ella Puteri Kota yang bakal berlangsung di Pulau Pinang, 28 Oktober depan.

Katanya, kes berkenaan sudah dilaporkan di dua balai polis, sekali gus membuktikan isu membabitkan pihak tidak bertanggungjawab tersebut tiada kena mengenakan dengan promosi konsert jelajahnya.

“Tidak, Facebook saya kena godam itu bukanlah satu perancangan mahu pun gimik, dahulu saya padam gambar dalam Instagram juga bukanlah dirancang untuk konsert sebelum ini.

“Saya sudah buat laporan polis dan telah berhubung dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menangani isu ini.

“Demi kebenaran, saya pergi dua balai polis iaitu di Ibu Pejabat Daerah Sungai Buloh dan Shah Alam atas laporan mencalarkan imej saya dengan memuat naik kandungan yang ‘bukan-bukan’ dalam paparan Facebook tersebut,” kata Ella.

Pelantun lagu Sembilu itu juga sedaya upaya mahu mendapatkan kembali akaun Facebook miliknya yang mempunyai lebih 500 ribu pengikut.

“Saya dan pihak pengurusan sudah ikut semua langkah yang dicadangkan SKMM, tetapi status terkini masih dalam proses dan sekarang dalam usaha untuk dapatkan balik akaun tersebut. Harap akaun saya boleh diselamatkan,” ujarnya lagi ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun yang ke-57, malam tadi.

Berkongsi lanjut mengenai konsert jelajahnya, acara berkenaan bakal berlabuh di Pulau Mutiara bukan sahaja atas permintaan peminat di Utara, namun lebih bermakna lagi, Penang merupakan negeri kelahirannya.

Malah isteri Kapten Azhar Ghazali itu menyifatkan konsert tersebut sebagai hadiah istimewa buat peminat yang menyokongnya dari dulu hingga ke hari ini.

“Kita mahu, kalau boleh bukan orang Pulau Pinang sahaja datang tapi semua orang di belah Utara tidak kira Kedah, Perlis dan sebagainya.

“Niat saya sendiri, saya mahu semua peminat, dari tahun pertama sampai sekarang datang tengok konsert saya yang juga hadiah untuk mereka.

“Saya mahu peminat gembira, biarlah peminat daripada apa jua golongan sekurang-kurangnya sekali lah dapat tengok konsert saya,” katanya lagi.

Menurut Ella, lebih menarik apabila konsert di Penang kelak akan menampilkan kelainan dari segi pentas, set lagu, artis jemputan, bahkan harga tiket juga lebih murah.

“Terdapat 50 peratus perbezaan daripada konsert sebelumnya di Axiata Arena seperti pentas 360 darjah, senarai lagu yang akan dinyanyikan, artis jemputan yang istimewa dan harga tiket yang murah,” ujarnya.

Sebelum ini, pada Mac lalu penghibur tersebut pernah memadam semua gambar dalam laman Instagram miliknya yang didakwa netizen sebagai gimik untuk Konsert Jilid Akhir Ella Puteri Kota.

Bagaimanapun, Ella menepis tanggapan berkenaan sebaliknya menyatakan berbuat demikian supaya peminat fokus kepada ucapan penghargaan ditulis atas sokongan sepanjang 35 tahun dalam bidang seni. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI