fbpx

Isu video tular: Sultan Nazrin tidak memihak, sokong parti politik secara terbuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tidak memihak serta jauh sekali daripada memberikan sokongan terhadap mana-mana parti politik secara terbuka di negara ini.

Penegasan itu dibuat Dewan Negara Perak menerusi satu kenyataan hari ini susulan penularan video berhubung titah baginda pada 2013 yang menyentuh berkenaan parti Pas.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Tan Sri Dr. Mohd. Zahidi Zainuddin berkata, video tersebut telah diolah sekali gus mengaitkan seorang Raja Pemerintah untuk tujuan politik kepartian.

“Video yang ditularkan oleh seorang wanita itu memuat naik satu bahagian kecil titah Raja Nazrin Shah yang dizahirkan pada 2013 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyentuh parti Pas.

“Video tersebut memilih memuat naik sebahagian titah Raja Nazrin yang ketika itu Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan yang dizahirkan pada 19 Februari 2013 di Majlis Wacana Perpaduan Ummah anjuran DBP bertema Perpaduan Ummah; Harapan, Realiti dan Cabaran,” katanya.

Beliau berkata, dalam wacana tersebut, baginda menzahirkan analisis melibatkan dua buah parti terbesar Melayu iaitu UMNO dan Pas yang merupakan dua kuasa politik Melayu yang dominan ketika itu.

“Baginda tidak hanya menzahirkan kata-kata positif kepada Pas (pada 2013) tetapi secara seimbang turut menzahirkan kupasan yang sama terhadap UMNO,” katanya.

Mohd. Zahidi berkata, titah baginda mengandungi 7,500 patah perkataan dan mengambil masa 90 minit semasa dizahirkan, dengan bahagian yang memuji Pas hanyalah petikan pendek, begitu juga pujian terhadap UMNO.

Beliau berkata, untuk itu tidak timbul bahawa baginda hanya memandang tinggi mengenai parti Pas.

“Malah kandungan titah itu sarat menghuraikan sejarah kedua-dua parti Melayu tersebut dan demi kebaikan bangsa dan negara, pentingnya untuk ummah mencari jalan menjalinkan persefahaman dan kerjasama meskipun memilih pendekatan politik yang berbeza.

“Baginda memberikan ulasan seimbang antara dua buah parti politik Melayu tersebut dan turut menzahirkan peringatan kepada kedua-dua pihak agar keghairahan mendapatkan sokongan politik dan kuasa jangan sampai memecahbelahkan bangsa dan memusnahkan negara,” katanya.

Menurut Mohd. Zahidi, adalah dipercayai ada pihak yang memetik titah Sultan Nazrin pada 2013 untuk ditularkan semula dengan tujuan mahu mempengaruhi pengundi agar menyokong parti Pas dalam suasana menjelang pilihan raya di enam buah negeri pada 12 Ogos 2023.

“Demi melindungi nama baik Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak daripada diheret dan dicemari oleh mana-mana pihak untuk meraih laba politik, Pejabat Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak telah membuat laporan polis pada 29 Julai 2023,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan perbuatan menularkan video tersebut sangat tidak beretika dan telah mencemarkan nama baik takhta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI