fbpx

Dr. Soberi meninggal dunia ketika sampaikan kuliah subuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Poster pemakluman pemergian Allahyarham Soberi menerusi media sosial Isma.

PETALING JAYA – Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Dr. Soberi Awang rebah sewaktu menyampaikan kuliah subuh pagi tadi, sebelum disahkan meninggal dunia.

Allahyarham yang juga Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ketika itu sedang menyampaikan kuliah Subuh di Surau Al-Ittihadiyyah, Seksyen 9, Shah Alam sebelum rebah pada pukul 7.55 pagi.

Dalam masa sama, khabar pemergian Allahyarham turut dikongsikan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang mengimbas kenangan bersama sahabat baik beliau itu.

“Ayat al-Quran terakhir yang dilafazkannya sebelum meninggal dunia semasa menyampaikan kuliah subuh pagi tadi adalah (bermaksud) ‘dan mereka semuanya (di padang Mahsyar) berkumpul menghadap ke hadrat Allah yang Maha Esa lagi Maha Perkasa (Surah Ibrahim: 48)’.

“Saya amat terkejut dengan pemergian sahabat lama saya, Ustaz Dr. Soberi Awang pada subuh hari ini. Dengan bentuk kematian yang berlaku, saya dengan sangkaan baik yang tinggi menganggap ia adalah petanda almarhum meninggal dunia dalam husnul khatimah,” katanya pada hantaran di media sosial, hari ini.

Zulkifli berkata, beliau mengenali sosok tubuh Allahyarham sejak tahun 90-an lagi ketika beliau melanjutkan pengajian sarjana di Damsyik, Syria.

“Kami mengenali beliau sebagai anak muda yang sentiasa bersemangat dalam dakwah dan mempunyai tahap keilmuan yang tinggi.

“Hubungan kami bertambah rapat apabila beliau menjadi pensyarah di kolej UNITI, Pasir Panjang, Port Dickson, bersama-sama saya.

“Masih jelas di ingatan usaha saya, bersama-sama beliau dan juga al-Fadhil Ustaz Muhammad Nafis Berhan berhempas pulas memperjuangkan penubuhan program Diploma Pengajian Islam bagi Kolej UNITI. Alhamdulillah, ia kekal sehingga ke hari ini,” katanya.

Ujarnya, persahabatan mereka diteruskan lagi apabila kedua-dua mereka berpindah dan meneruskan kerjaya di USIM.

“Beliau kekal di sana dan saya meletakkan jawatan untuk berkhidmat sebagai Mufti Wilayah Persekutuan. Seingat saya, pernah beliau hadir bersama-sama Prof. Dr. Aznan Hassan mewakili Majlis Ulama Isma bertemu saya semasa saya masih menjawat jawatan mufti.

“Saya menjadi saksi bahawa beliau adalah seorang yang gigih dalam usaha dakwah kepada masyarakat serta amat mendalam ilmunya khususnya ekonomi Islam. Sesungguhnya, kita adalah milik Allah dan kepada-Nya kita kembali,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI