PERKAHWINAN yang dibina atas dasar cinta di antara seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Ela bersama suaminya penuh bahagia pada awalnya.
Kebahagiaan rumah tangga mereka tidak berkekalan apabila akhirnya musnah angkara judi dan beban hutang dengan lintah darat.
Mengimbas peristiwa yang menyebabkan mereka berdua berpisah hampir lapan tahun lalu, Ela berkata, segalanya berpunca daripada sikap suaminya yang tiba-tiba berubah menjadi kaki judi.
“Sepanjang perkenalan dengan suami, dia langsung tidak pernah terlibat judi.
“Namun, setelah berkahwin, suami berkawan dengan rakan-rakannya yang kaki judi menyebabkan dia turut terlibat sama,” kata Ela yang kini berusia pertengahan 30-an kepada K2.
Ela yang bekerja dalam sektor swasta berkata, suaminya terlibat dengan judi setelah aktif mengikuti rakan-rakannya masuk ke Thailand.
Memandangkan mereka tinggal di negeri yang bersempadan dengan Thailand, itu membuatkan suaminya sering ke negara Gajah Putih tersebut.
Di sana, suaminya telah pergi berjudi di sebuah kasino yang menjadi tumpuan kaki-kaki judi.
“Setelah terlibat dengan judi, sikap suami saya berubah sepenuhnya.
“Suami saya sebelum itu mengusahakan perniagaan makanan, tetapi apabila sering sangat berjudi dia tidak fokus untuk mencari rezeki dan ada ketika kedai makannya tidak dibuka sehingga berhari-hari,” terangnya.
Sejak terlibat dengan judi, suaminya juga mula culas untuk menunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
Malah, Ela dan suami sering bergaduh kerana masalah kewangan.
“Suami saya sering meminjam wang kepada saya dengan alasan untuk membayar hutang rakannya.
“Bukan itu sahaja, barang kemas saya turut digadai olehnya untuk membayar hutang-hutang tersebut,” ujarnya.
Pada mulanya, Ela tidak menyedari bahawa suaminya itu terlibat dengan judi sehinggalah pihak along datang mencarinya di rumah.
Along itu menyatakan bahawa suaminya itu ada meminjam wang daripada mereka untuk berjudi dan memintanya membayar kembali seperti yang dijanjikan.
Ela amat terkejut pada waktu itu. Ela cuba meminta penjelasan daripada suaminya tetapi lelaki itu hanya menyatakan dia meminjam wang untuk membayar hutang rakannya dan bukan berjudi.
“Saya tidak percaya dengan kata-katanya itu dan saya mengetahui bahawa dia berbohong.
“Akhirnya saya menghubungi rakan baiknya untuk mendapatkan maklumat, saya menangis menceritakan hal itu kepada rakannya itu.
“Rakan baiknya itu juga adalah rakan saya ketika di alam persekolahan dan kerana kasihan melihat saya akhirnya dia membongkar segala perbuatan suami saya,” katanya.
Sejak peristiwa itu juga, along semakin kerap datang ke rumahnya untuk mencari suaminya bagi menuntut hutang.
Malah, suaminya itu ada ketika tidak balik ke rumah sehingga seminggu kerana bersembunyi disebabkan takut diburu oleh along.
Ela berkata, hutang suaminya dengan along itu telah mencecah puluhan ribu ringgit.
“Saya turut menjadi mangsa di mana along meminta saya membayar hutang itu kerana suami saya mengatakan bahawa saya adalah penjaminnya.
“Hidup saya amat tertekan pada waktu itu dan suami saya terus menghilang. Ada ketikanya dia akan pulang sebentar ke rumah,” kata Ela.
Tambahnya, mereka turut bergaduh kerana hal itu dan suaminya meminta Ela menjual tanah pusaka orang tuanya untuk membolehkan suami melunaskan hutang tersebut.
Ela tidak mengikuti permintaan suaminya itu dan setelah berfikir panjang dia mengambil keputusan untuk memohon fasakh.
Ela nekad dengan keputusan tersebut dan akhirnya mereka sah berpisah di sebuah mahkamah syariah di satu negeri di utara Semenanjung.
Setelah berpisah, Ela berkata, dia tidak mendapat khabar berita tentang suaminya itu lagi. Rakan suaminya ada memberitahu kepadanya bahawa suaminya itu sedang bersembunyi di Thailand kerana dikejar oleh along.
Perkahwinan selama empat tahun Ela dengan suaminya itu hanya tinggal kenangan dan kini Ela akui dirinya bahagia dengan kehidupan baharunya apabila telah berkahwin dengan seorang lelaki yang lebih bertanggungjawab.














