fbpx
Petugas SPR membuat persiapan di pusat penamaan calon di Dewan Besar Tanjung Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) semalam. – AFIQ RAZALI

Gendang kempen 14 hari bermula hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Calon-calon bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, Pulau Pinang, Terengganu, Kedah, Ke­lantan dan Negeri Sembilan akan mula memukul gendang kempen selepas proses penamaan calon di 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selesai hari ini.

PRN di enam negeri tersebut diadakan secara berasingan daripada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November tahun lalu kerana kesemua negeri ter­babit tidak membubarkan DUN masing-masing ketika itu.

Bagi PRN kali ini, Kelantan terlebih dahulu membubarkan DUN pada 22 Jun lalu, diikuti Selangor pada 23 Jun, manakala Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu masing-masing pada 28 Jun dan Negeri Sembilan pada 1 Julai lalu.

Turut berlangsung Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan calon Pas, Datuk Ahmad Amzad Hashim pada PRU15 setelah mendapati wujud unsur rasuah ketika tempoh kempen pilihan raya bagi Parlimen tersebut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di enam negeri berkenaan dan PRK Parlimen Kuala Terengganu berjalan serentak dengan 12 Ogos ini sebagai hari pengundian, manakala hari ini sebagai hari penamaan calon, sementara hari pengundian awal pada 8 Ogos.

Penyerahan kertas penamaan calon ditetapkan bermula pukul 9 hingga 10 pagi di 173 Pusat Penamaan Calon (PPC) di negeri terlibat.

Tempoh berkempen pula di­tetapkan selama 14 hari bermula selepas pengumuman calon bertanding sehingga pukul 11.59 malam pada 11 Ogos depan.

Menurut SPR, daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang digunakan adalah yang terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan April 2023 yang dikemas kini pada 21 Jun lalu membabitkan seramai 9,773,571 pemilih.

DPPR itu membabitkan seramai 9,674,456 pengundi biasa, tentera dan pasangan (49,660), polis dan pasangan (47,728) dan seramai 1,727 pengundi tidak hadir luar negara.

SPR memaklumkan, PRN membabitkan enam negeri itu dianggarkan melibatkan peruntukan sebanyak RM420 juta.

Seramai 123,575 pengundi bakal memilih kepimpinan pada PRK Kuala Terengganu dan daripada jumlah itu 122,160 pengundi biasa, 35 tentera serta pasangan, 1,362 polis dan 18 pengundi tidak hadir luar negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN