fbpx

Perak kenal pasti tapak lapangan terbang baharu di Bota

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad Nizar Jamaluddin pada sidang akhbar di Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah Seri Iskandar. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA / KOSMO!

PARIT – Kerajaan Perak telah mengenal pasti tapak baharu berhampiran Felcra Nasaruddin di Bota untuk pembinaan lapangan terbang bertaraf antarabangsa di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, lokasi baharu itu terletak kira-kira 40 kilometer dari tapak cadangan asal lapangan terbang di Seri Iskandar.

Katanya, cadangan pembinaan lapangan terbang di tapak seluas 1618.7 hektar itu bagaimanapun memerlukan kajian teliti sebelum dilaksanakan.

“Hari ini, satu perjumpaan diadakan dengan Colebrand International Limited iaitu syarikat kejuruteraan infrastruktur dari United Kingdom berhubung tapak bagi pembinaan lapangan terbang baharu itu.

“Pihak syarikat kemudian dibawa ke lokasi yang dicadangkan di mana mereka akan menjalankan kajian bagi melihat kesesuaian tapak berkenaan sebelum menyerahkan hasil kajian tersebut kepada kerajaan negeri,” katanya dalam sidang akhbar selepas mendengar taklimat dan pembentangan berkaitan projek itu di Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Colebrand International Limited, Jim Scott dan Pengurus Besarnya, Dr. Farid Idrus.

Menurut beliau, cadangan pembinaan lapangan terbang itu secara prinsipnya juga telah dipersetujui oleh kerajaan Persekutuan.

“Syarikat ini telah pun berjumpa pihak Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Pengangkutan dan Menteri Besar Perak bagi memberi gambaran berkaitan pembinaan lapangan terbang itu.

“Maknanya tidak ada masalah dengan Kementerian Pengangkutan begitu juga Pejabat Perdana Menteri. Mereka telah memberikan satu indikasi untuk bersetuju dengan apa yang kita cadangkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI