fbpx

Tiada seorang dalam keluarga saya pernah terima wang 1MDB – Zeti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zeti tiba di mahkamah bagi memberi keterangan dalam perbicaraan penyelewengan dana 1MDB melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz menyangkal dakwaan keluarganya telah menerima sebarang faedah dan manfaat daripada skandal kewangan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Zeti, 76, yang merupakan saksi pendakwaan ke- 46 menafikan perkara itu semasa pemeriksaan utama ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Ahmad Akram: Adakah anda atau mana-mana ahli keluarga menerima apa-apa faedah daripada mana-mana ini?

Zeti: Tiada seorang pun dalam keluarga saya pernah menerima atau mengambil wang 1MDB. Tiada satu sen pun.

Najib, 70, berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Pada Februari tahun lalu, bekas pengerusi Goldman Sachs Asia Tenggara Tim Leissner, memaklumkan mengenai rasuah yang melibatkan suami Zeti Datuk Dr. Tawfiq Ayman berhubung projek bersama antara PetroSaudi dan 1MDB semasa memberi keterangan pada perbicaraan bekas pekerjanya, pegawai bank Roger Ng, di Mahkamah Tinggi Brooklyn di New York.

Perbicaraan bersambung lagi pada 14 Ogos ini.

Terdahulu Zeti memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa BNM tidak pernah didedahkan surat yang didakwa daripada Kerabat Diraja Arab Saudi berhubung wang tunai AS$100 juta yang dihadiahkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Zeti, 76, berkata, tiga surat masing-masing bertarikh 1 November 2011, 1 Mac 2013 dan 1 Jun 2014 daripada Abdulaziz Majid Al Saud yang juga bekas Gabenor Wilayah Madinah dirampas pada 6 Julai 2015 ketika BNM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan serbuan bersama di AmBank.

“Dua surat yang dikatakan dikeluarkan kepada BNM oleh Pengarah Urusan Kumpulan 1MDB, Ashok Ramamurthy (berhubung pembukaan akaun peribadi Najib) timbul ketika siasatan BNM pada Julai 2015. Semasa serbuan itu juga didapati kod akaun bernama AmPrivate Banking – MR sudah ditutup dan tiga akaun yang dibuka pada 2013 juga ditutup,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI