fbpx

Keindahan lima pulau ‘permata’ Mersing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGUNJUNG perlu menelusuri pintu gua kecil untuk ke lagun di Pulau Harimau.

HEMBUSAN angin Laut China Selatan mengiringi perjalanan bot yang membawa pengunjung menerokai keindahan lima pulau berstatus ‘permata tersembunyi’ di Mersing, Johor.

Kunjungan daripada wakil media dan agensi pelancongan itu merupakan anjuran Tourism Malaysia Wilayah Selatan.

Setelah 25 hingga 30 minit dibuai ombak laut, rupa bentuk muka bumi Pulau Harimau yang seakan-akan seekor harimau sedang tidur di laut mula kelihatan.

Sebaik sahaja bot berhenti, para pengunjung terus terjun ke laut yang berwarna ‘emerald green’ itu sebelum menyelusuri pintu gua kecil untuk ke lagun.

Panorama lagun dalam gua itu sangat memukau apabila sinaran cahaya matahari menembusi air laut, sekali gus menyerlahkan lagi kewujudan terumbu karang dan hidupan marin berwarna-warni.

Bagi pengunjung yang dahagakan aksi ekstrem, mereka boleh membuat terjunan dari tebing dinding gua sambil di pantau oleh ‘boatman’ berlesen.

Setelah puas di pulau pertama, aktiviti jelajah itu diteruskan dengan persinggahan ke Pulau Hujung yang terkenal dengan keputihan pantainya.

Di pulau itu, para pengunjung disediakan dengan makanan tengah hari yang dibawa dari darat.

Pengunjung juga boleh mengambil kesempatan untuk memanfaatkan keindahan pantai dengan merakam video atau foto sebagai kenangan.

Sekiranya mahu melihat keindahan kehidupan marin dan terumbu karang dengan lebih dekat, pengunjung boleh melakukan aktiviti selam snorkel sama ada di tepi pantai atau di tengah laut.

GELONGSOR air di tengah laut merupakan tarikan utama di Pulau Rawa.

Sementara itu, Setiausaha Mersing Tourism Association (MTA), Ahmad Firdaus Shaik Omar berkata, di Mersing terdapat 97 pulau dengan 13 pulau memiliki status komersial.

“Ramai orang menjadikan jeti Mersing sebagai transit mereka ke Pulau Tioman di Pahang dengan menggunakan feri selama dua jam.

“Mereka tidak tahu, untuk ke pulau-pulau di Mersing hanya memakan masa kurang dari setengah jam,” katanya yang turut mengendalikan pakej jelajah pulau.

Bagi destinasi ketiga, pengunjung dibawa melihat Pulau Rawa yang terkenal dengan gelongsor air di tengah laut. Oleh kerana statusnya yang eksklusif, pengunjung hanya dibenarkan merakam foto kenangan dari atas bot.

Perjalanan diteruskan dengan kunjungan ke Pulau Babi Tengah atau Pulau Tengah yang menempatkan resort termahal di selatan tanah air.

Kebiasaannya, para pengunjung awam tidak dibenarkan untuk turun di pulau berkenaan demi menjaga privasi pelanggan-pelanggannya.

Bagaimanapun, kami diberi akses eksklusif untuk melihat kemewahan penginapan di Batu-Batu Resort serta melawat konservasi Pusat Pemuliharaan Tunku Abdul Jalil.

Destinasi terakhir adalah Pulau Besar atau Pulau Babi Besar yang menempatkan lima resort dengan pelbagai jenis penginapan termasuk dormitori, banglo dan vila.

Aktiviti yang boleh dilakukan di resort itu adalah seperti jelajah pulau-pulau, selam snorkel, berkayak dan berbasikal.

Tambah Ahmad Firdaus, pengunjung boleh memilih sama ada mahu pakej ke tiga buah pulau atau lima buah pulau.

“Untuk pakej tiga pulau, pengunjung akan dibawa ke Pulau Hujung, Tengah dan Besar sahaja.

“Pakej termasuk perkhidmatan bot, pemandu pelancong terlatih, jaket keselamatan, set makanan tengah hari, peralatan selam snorkel, tiket taman laut dan tiket Mersing Tourism Operating System (METOS).

“Sekiranya mahu ke satu pulau, ia melibatkan penyewaan bot sahaja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI