fbpx

Vingegaard pertahan gelaran di TdF 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
VINGEGAARD berjaya mempertahankan gelaran TdF yang dimenangi musim lalu selepas meraihnya sekali lagi pada musim ini. - AFP

PARIS – Pelumba pasukan Jumbo-Visma, Jonas Vingegaard membuktikan kejaguhan apabila berjaya mempertahankan kejuaraan Tour de France (TDF) yang dimenanginya pada edisi tahun lalu.

Walaupun tidak menamatkan peringkat terakhir dalam kelompok teratas, namun ia tidak menghalang Vingegaard daripada memastikan jersi kuning menjadi miliknya menewaskan pencabar terdekat, Tadej Pogacar dari pasukan UAE Team Emirates.

Pelumba berusia 27 tahun itu mempertahankan kejuaraan dengan penuh bergaya menerusi kelebihan 7 minit 29 saat ke atas Pogacar selepas perlumbaan peringkat ke-21 yang berakhir di Paris Champs-Elysees.

“Kejayaan meraih kejuaraan kedua selain mempertahankan gelaran dimenangi tahun lalu dalam saingan Tour de France adalah satu perkara yang sangat sukar untuk dipercayai, namun saya berjaya lakukannya.

“Sepanjang tiga minggu perlumbaan, saya dan Pogacar sentiasa bersaing dan ‘pertempuran’ itu cukup hebat. Saya harap kami berdua dapat ulangi persaingan itu pada masa hadapan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pelumba pasukan Alpecin-Deceuninck, Jasper Philipsen meraih gelaran Raja Pecut, manakala jersi Raja Pecut menjadi milik Giulio Ciccone dari pasukan Lidl-Trek sementara Pogacar dinobat Pelumba Muda Terbaik.

Sementara itu, pemenang perlumbaan peringkat terakhir, Jordi Meeus dari pasukan Bora-Hansgrohe mengakui sangat gembira memandangkan edisi kali ini merupakan penampilan pertamanya dalam TDF.

“Ini adalah Jelajah sulung saya dalam Tour de France, jadi satu pengalaman yang cukup hebat dan bermakna kerana dapat memenangi peringkat perlumbaan. Sukar untuk digambarkan perasaan saya ketika ini,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI